REMBAU - Pembinaan Hospital Rembau dengan kapasiti 76
katil di tanah seluas 19.4 hektar di Chembong, Rembau, merupakan perkara yang
amat ditunggu-tunggu oleh semua
penduduk di daerah ini.
Sebelum ini mereka terpaksa menuju ke Hospital Tuanku
Jaafar (HTJ) Seremban dan Hospital Tampin yang masing-masing mengambil masa 20
dan 25 minit, bagi mendapatkan rawatan atau memenuhi temu janji yang diberikan
doktor.
Apabila siapnya Hospital Rembau itu kelak yang setakat
ini sedang rancak dibina, ia sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai
negeri pertama yang mempunyai hospital di kesemua tujuh daerah iaitu Tampin, Rembau, Kuala Pilah, Jempol,
Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
Bekas Ketua Kampung Batu 17, Chembong, Ramli Rasip, 65,
berkata pembinaan Hospital Rembau
sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh penduduk di sini.
"Penduduk Rembau mengalu-alukan pembinaan Hospital
Rembau kerana ia mampu menampung keperluan rawatan dan perubatan pesakit di
daerah ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Ramli yang tinggal di Taman Sedia Raja di sini, berkata
beliau yakin hospital berkenaan berupaya menyediakan perkhidmatan kesihatan
yang cekap dan terbaik kepada rakyat, setanding dengan hospital-hospital di
daerah lain.
Pembinaan Hospital Rembau dengan kos RM108 juta dijangka
siap sepenuhnya pada 29 Disember tahun ini dan akan dilengkapi kemudahan
terkini seperti wad, wad bersalin, pusat
rehabilitasi dan dewan bedah.
Pesara polis,
Arshad Hasan, 68, daripada Taman Desa Chembong berkata, dengan wujudnya
hospital berkenaan pesakit tidak perlu lagi berulang-alik untuk mendapatkan
perkhidmatan kesihatan di Hospital Tampin atau HTJ Seremban, sekali gus dapat
menjimatkan masa dan wang.
"Pembinaan Hospital Rembau ini memang tepat pada
masanya kerana sebelum ini, bandar ini cuma ada Klinik Kesihatan Rembau sahaja
yang mana ia hanya mampu merawat kes-kes pesakit luar seperti demam, batuk dan
sebagainya manakala bagi penyakit yang kritikal yang mungkin memerlukan
pembedahan, perlu dirujuk ke hospital. Pembinaan hospital ini melegakan
saya," katanya.
Seorang penduduk di Kampung Pedas Hilir, Norhayati Zainal
Abidin, 48, pula berkata pembinaan
hospital baharu itu dilihat dapat meningkatkan lagi tahap kualiti kehidupan dan
kesejahteraan rakyat daerah ini.
" Pembinaan Hospital Rembau adalah bukti
keprihatinan kerajaan terhadap rakyat terutama golongan berpendapatan rendah
yang banyak mendapat rawatan di hospital kerajaan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Zainudin Mohd
Ali berkata setakat ini kemajuan pembinaan hospital berkenaan berada ditahap 68
peratus dan dijangka akan memulakan operasinya pada awal tahun hadapan.
“Ini sekali gus akan membolehkan perkhidmatan kesihatan
dapat diberikan dalam skop yang luas seperti wad bersalin. Jadi tidak perlu
lagi ke Seremban atau Tampin untuk bersalin lepas ini dan (hospital ini)
disokong oleh wad kanak-kanak, wad lelaki dan wad perempuan.
Kita juga ada dewan bedah di sini yang jika ada
pembedahan-pembedahan kecil, ia akan dapat dibuat di sini. Ini akan memudahkan
pesakit di mana mereka tidak perlu lagi pergi ke Hospital Tuanku Jaafar,
Seremban tetapi hanya perlu datang ke
sini," katanya.
Dr Zainudin berkata hospital berkenaan juga turut
menyediakan lawatan khidmat pakar yang akan mengadakan lawatan seminggu sekali
atau dua kali dalam seminggu dan ia mampu menampung 10,000 ke 20,000 pesakit
luar dalam tempoh sebulan.
Pembinaan Hospital Rembau merupakan satu daripada 45
manifesto BN Negeri Sembilan pada PRU13 yang bertujuan untuk menampung
keperluan dan kapasiti hospital lain seperti HTJ Seremban yang sentiasa sibuk
dan padat.
Ia juga berada dalam lokasi strategik bagi penduduk di
Daerah Rembau mendapatkan rawatan.-
Bernama

Comments
Post a Comment