SPRM tagih sokongan mahasiswa basmi rasuah

SEREMBAN - Golongan mahasiswa perlu menjadi ejen perubahan dan pendu­kung kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam me­merangi rasu­ah dan salah guna kuasa di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, suruhanjaya itu memerlukan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada anak-anak muda dalam me­laksanakan agenda tersebut.


“Apabila SPRM diserang dan diugut, golongan anak muda perlu teguh berdiri bersama-sama untuk menggembleng tenaga, mengerah keri­ngat dan berkongsi kudrat bagi menentang suara-suara yang mengkritik SPRM.
“Inilah yang kita mahukan dan inilah yang kita dambakan daripada golongan mahasiswa supaya bersama-sama SPRM untuk berjihad me­me­rangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) 2017 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini semalam.
Program bertemakan ‘Suara Pemimpin: Satu Revolusi Memerangi Rasuah’ anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM itu dihadiri kira-kira 3,000 peserta.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Mohd. Jami­dan Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Datuk Junipah Wandi dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Abdul Samat Kasah.
Pada program itu, Dzulkif­li turut menarik perhatian hadirin apabila mendeklamasi pui­si bertajuk Demi Allah Akan Ku Jaga Integriti Ini.
Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, mahasiswa juga perlu turun padang bagi mendidik rakan mereka dan masyarakat agar tidak terpengaruh de­ngan rasuah.
“Jika mereka benar-benar ingin melihat kemungkaran ini diperangi habis-habisan serta dilenyapkan, maka sambutlah cabaran saya untuk berdiri bersama SPRM bagi menggempur dan memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.
Sementara itu, program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan teater bertajuk Genggam Tangan Kanan, Tangan Kiri Melipat Senjata, deklamasi sajak oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, persembahan muzik akustik oleh Artisukma USIM dan persembahan Datuk Nash Lefthanded.
Turut diadakan sesi per­kongsian oleh wakil dari Indonesia Corruption Watch, Tama Satrya Langkun berhubung isu rasuah di negara jiran itu.



Comments