Terasing dari pembangunan

SEREMBAN - Jaraknya hanya 15 kilometer dari bandar Seremban, namun masyarakat Orang Asli Kampung Tekir, Labu, di sini, dikatakan masih tersisih daripada pembangunan dan hidup daif.

Tinggal dalam rumah buluh beratapkan kain rentang dan daun nipah tanpa sebarang bekalan air dan elektrik sudah cukup menggambarkan kelompok berkenaan seolah-olah terpinggir.
Ketua Penerangan PKR negeri, Mokhtar Ahmad yang mendedahkan perkara itu berkata, masyarakat di situ juga mendakwa mereka dianaktirikan apabila permohonan rumah yang dilakukan sejak lima tahun lalu kepada pihak berkaitan tiada sebarang jawapan sehingga kini.
"Jarak kampung ini dengan bandar Seremban lebih kurang 15 kilometer sahaja, tapi penduduk di sini tidak dapat menikmati pembangunan sepatutnya.
“Bayangkan, dalam keadaan negara yang telah maju dan membangun, masih lagi ada penduduk Orang Asli tinggal dalam rumah buluh, tanpa kemudahan asas yang lengkap.
“Dengan keadaan atap yang lubang dan sering bocor dimasuki air menjadikan kehidupan mereka di Kampung Tekir ini nampak sangat daif. Walaupun ada tiang lampu dalam kampung itu, tetapi masih ada segelintir penduduk yang tidak mempunyai bekalan elektrik, terpaksa guna cahaya lilin dan lampu suluh untuk membantu anak belajar,” katanya.
Menurutnya, biarpun masyarakat di situ tinggal di kawasan luar bandar dan dalam perkampungan Orang Asli, kebajikan mereka tidak sepatutnya diabaikan.
Sebaliknya, katanya, mereka perlu dibantu bagi memastikan pembangunan berlaku di bandar dapat dirasai serta dinikmatinya bersama.
Beliau turut berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memainkan peranan dalam membantu meningkatkan keperluan penduduk di perkampungan terbabit.
“Saya yakin jika ada desakan daripada jabatan ini kepada wakil rakyat atau mana-mana jabatan berkaitan, sudah pasti penduduk Orang Asli di Kampung Tekir dapat menikmati hidup lebih selesa," katanya ketika membuat lawatan ke perkampungan berkenaan, semalam.
Sementara itu, salah seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali Rina berkata, dia sudah lima kali membuat permohonan di peringkat negeri bagi mendapatkan rumah melalui program bantuan rumah dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
“Saya mohon rumah dari baru ada seorang anak, sekarang dah ada tiga anak. Tapi tak pernah diluluskan, tak tahu apa sebabnya.  Terpaksalah kami duduk sini.
“Kasihanilah kami, nak juga merasa tinggal di rumah yang selesa seperti orang bandar lain,” katanya.
Keadaan rumah yang daif, hanya beratapkan kain rentang dan daun nipah.
Perlu ikut saluran yang betul:  JAKOA
Sementara itu, Pengarah JAKOA Negeri Sembilan, Hazlin Abdul Razak berkata, pihaknya tiada halangan untuk melaksanakan program bantuan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, penduduk perlu membuat permohonan secara rasmi melalui saluran yang betul dan menepati garis panduan rumah bantuan rakyat yang ditetapkan.
"Sekiranya mempunyai bajet yang mencukupi, pihak kami tiada masalah untuk melaksanakannya," katanya.
Terdahulu, katanya, JAKOA melalui Program Pembangunan Sosial ada menyediakan kemudahan perumahan kepada Masyarakat Orang Asli miskin dan miskin tegar di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Kemudahan ini diberikan kepada ketua isi rumah Orang Asli yang layak menerima bantuan dan pemilihan adalah berdasarkan Garis Panduan Program Bantuan Rumah (PBR) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-9.

"Bantuan rumah bukan sahaja membina rumah tiga bilik mengikut spesifikasi teknikal KKLW, malah bantuan turut diberikan bagi kerja-kerja pembaikan rumah program bantuan rakyat sedia ada," katanya. – Sinar Online

Comments