‘Tipulah kalau saya tak sedih’

BAHAU - Bapa kepada tiga anak di Kampung Serting Ilir di sini, masih menaruh harapan untuk sembuh setelah dia kini terlantar akibat kemalangan pada Jun lalu di Beting, Kuala Pilah.
Ahmad Mokthar Ibrahim, 37, ketika menceritakan kejadian nahas berkenaan berkata, ketika itu dia menunggang motosikal sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, dia tiba-tiba terjatuh semasa melalui bonggol jalan sehingga menyebabkan badannya tidak boleh digerakkan.
“Mujur ketika itu ada rakan bantu dan saya terpaksa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans. Tulang rawan di bahagian tengkuk dipercayai pecah selain ada saraf tersepit.
“Akibat keadaan itu saya tak mampu berjalan, selain hanya terlantar. Pembedahan susulan akan dibuat pada 4 September depan dan fisioterapi selepas selesai pembedahan,” katanya yang merupakan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Pilah.
Ujarnya, bagaimanapun dia bersyukur kerana keluarga, saudara serta rakan sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat untuknya sembuh.
“Tipulah kalau saya tak sedih, namun dugaan ini saya terima dengan reda dan sesungguhnya ia tak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
“Kata-kata semangat itu juga membuatkan saya lega, selain tidak terlalu tertekan memikirkan keadaan sekarang,” katanya.
Ahmad Mokthar adalah seorang yang aktif dalam kampung selain memegang jawatan sebagai Pengerusi Komuniti 1 Malaysia (K1M) kampung itu, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pemangku Umno Cawangan Kampung Serting Ilir.
Manakala ketika ditanya mengenai tanggungjawab yang digalas itu, Ahmad Mokthar berkata, dia lega apabila semua yang terbabit dalam badan berkenaan sentiasa memberikan kerjasama yang baik.
“Doakan saya segera sembuh dan kembali seperti sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, Adun Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan Ketua Umno Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif serta kepimpinan setempat berkesempatan melawat Ahmad Mokthar. - Sinar Online

Comments