15,000 mahasiswa sertai Coca-Cola KU

SEREMBAN  – Kira-kira 15,000 mahasiswa universiti menyertai program Coca-Cola Komuniti Usahawan (Coca-Cola KU) yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pa­da April lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program tersebut juga turut mendapat penyertaan dari 5,000 usahawan wanita luar bandar dari seluruh negara.
“Coca-Cola KU merupakan program latihan kepada pengusaha perniagaan mikro dan pelajar universiti bagi membantu mereka berjaya sekali gus memperkasakan ekonomi usahawan di Malaysia.

“Program tersebut melibatkan latihan antaranya permulaan perniagaan, penyimpanan rekod harian, pengurusan pendapatan, aliran tunai serta kualiti dan perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kilang Coca-Cola, di sini.
Yang turut hadir timbalannya, Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola’s Bottling Investment Group Si­ngapore-Malaysia-Brunei, Gareth McGeown.
Menurut Hamzah, Coca-Cola KU turut mendapat kerjasama daripada syarikat perkhidmatan teksi e-hailing, Uber dan rangkaian restoran makanan segera, Marrybrown yang berkongsi pe­ngalaman dengan peserta mengenai perniagaan masing-masing.
Katanya, program itu dilaksanakan di 14 universiti awam seluruh negara antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Jabatan Pendidikan Politeknik Shah Alam dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
“Peserta dipilih melalui penyertaan yang dihantar kepada Coca-Cola dan setakat ini, mereka yang mempunyai potensi dan minat untuk menjadi usahawan akan terpilih menyertai program ini,” katanya.
Sementara itu, Gareth berkata, program tersebut merupakan antara pelaburan syarikatnya di Malaysia dengan melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memaksimumkan pendapatan.
“Kami berharap pelaburan terhadap komuniti ini dapat memberi impak positif kepada peserta sekali gus meningkatkan pendapatan mereka selain me­rangsang pelaburan semula kepada masyarakat.
Coca-Cola KU juga adalah sebahagian misi syarikat ini bagi membolehkan ekonomi lima juta usahawan wanita diperkasa,” jelasnya.







Comments