28 rumah, surau terjejas akibat ribut

PORT DICKSON - Sebanyak 28 buah rumah termasuk sebuah surau di Kampung Telok Pelandok terjejas akibat ribut dan hujan lebat petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, angin ribut melanda kampung berkenaan dan dalam masa yang sama kawasan rendah di Port Dickson dilanda banjir kilat antaranya sebuah sekolah, mini pasar raya, Kampung Bagan Pinang, Kampung Sawah, Kampung Telok Kemamg dan Dataran Sri Kemang akibat hujan luar biasa lebat yang bertembung dengan air laut pasang.

Salah seorang mangsa ribut, Aminah Sahir, 65, berkata, bunyi letupan kuat dan seperti ada objek jatuh di atas bumbung rumahnya membuatkan dia bangun dan hendak berlari keluar.
"Tapi pintu tak dapat di buka, Acik tarik pintu, rasa berat sangat. Tengok dari tingkap, pokok besar melentok-lentok ditiup angin ribut.
"Tekanan angin kuat dari luar, tu yang tak dapat nak buka pintu, tak lama lepas tu, tak sampai lima minit angin dah reda, pintu dah boleh buka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dirumahnya pagi tadi.
Aminah yang tinggal bersendirian ketika kejadian berkata, sebelum kejadian ribut, hujan lebat terlebih dahulu turun.
"Lepas dapat keluar rumah, Acik tengok atap garaj jiran sebelah dah diterbangkan angin, itu yang bunyi meletup dan serpihan atap jatuh atas bumbung rumah Acik.
"Bumbung Acik tak tercabut, tapi kedudukan beberapa atapnya beralih, rumah ni masuk juga lah air hujan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Telok Pelandok, Abu Bakar Yusof berkata, rumah yang terlibat adalah 24 buah rumah di Rumah Rakyat Kampung Telok Pelandok, sebuah surau dan tiga buah rumah di Kampung Segenting.
"Dalam kejadian ini, hanya satu keluarga sahaja yang ditempatkan di penempatan sementara di Balai Raya Kampung Segenting kerana hampir keseluruhan atap rumahnya diterbangkan angin.
"Sementara mangsa lain, kediaman masing-masing masih boleh didiami.
"Walau bagaimanapun, melalui peruntukan daripada Pejabat Daerah, kerja-kerja membaiki atap dan bumbung semua rumah mangsa ribut dah di buat sejak pagi tadi," katanya.
Abu Bakar berkata, keluarga yang berpindah sementara di Balai Raya Kampung Segenting dibawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka yang terlibat adalah tiga lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa serta bayi berusia empat  bulan," katanya – Sinar Online

Comments