Kayuh basikal tua imbau nostalgia

KUALA PILAH - Keterujaan pencinta basikal tua mengimbau nostalgia ‘orang lama’ berjaya menarik perhatian anak muda bagi menyertai konvoi kayuhan santai di sini.
Seramai 100 peminat basikal tua menyertai kayuhan berkenaan sempena Hari Malaysia pada 16 September lalu anjuran Persatuan Basikal Tuo Soghomban (PBTS).

Pengerusinya, Mohd Ariff Bidin, 36, berkata, acara kayuhan santai itu bertujuan memperkenalkan kawasan tinggalan sejarah yang telah wujud sejak sebelum negara merdeka.
Menurutnya, ia juga secara tidak langsung mengimbau kembali nostalgia berbasikal yang menjadi pengangkutan penting sekitar tahun 50-an.
“Walaupun basikal bukan lagi menjadi pengangkutan penting pada zaman ini tetapi kegemilangannya tetap terpahat dalam diri pencinta basikal tua.
“Malahan kegilaan peminat dan pengumpul basikal tua atau klasik bukan sahaja kepada basikalnya, tetapi barangan aksesori seperti lampu dynamo, loceng, beg buatan England, pakaian, dan aksesori lain yang semakin sukar ditemui," katanya.
Tambahnya, pencinta basikal tua sanggup ke mana-mana sahaja, semata-mata untuk mencari aksesori yang dikehendaki.
Katanya, pelbagai aksesori itu menjadi kebanggaan bagi pemiliknya kerana barangan klasik tersebut mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya.
“Antaranya, ia pernah digunakan pemilik generasi terdahulu semasa zaman penjajahan Jepun dan Inggeris serta menjadi kenderaan utama kakitangan kerajaan pada zaman sebelum merdeka seperti polis, guru, tentera dan posmen,” katanya.
Mohd Ariff berkata, terdapat sebuah kedai basikal lama yang telah wujud sejak tahun 40-an lagi di Jalan Datuk Bandar Tunggal, Seremban.
Menurutnya, kedai itu milik seorang warga emas berbangsa Cina yang mesra dipanggil John, berusia 70-an.
“Dia mewarisi kedai itu daripada mendiang ayahnya sejak tahun 60-an.
“Sehingga kini kedai tersebut masih menyimpan dan menjual alat ganti basikal tua biarpun mendapat saingan basikal moden,” katanya.
Menurut Mohd Ariff, dia berhasrat mempelbagaikan lagi aktiviti persatuan agar berkembang ke seluruh negara supaya generasi muda dapat mengenali basikal tua.
Dalam program itu, kayuhan bermula dari Bank Simpanan Nasional (BSN) Ampangan menuju ke Muzium Negeri dan berakhir di BSN sekali lagi membabitkan jarak 15 kilometer.
 Antara kelab yang mengambil bahagian ialah Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Kelab Basikal Tua Temerloh, Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan dan beberapa peserta dari Klang serta Kuala Lumpur berumur antara 15 hingga 75 tahun.

Pelbagai jenis basikal klasik buatan England digunakan dari keluaran tahun 1940 seperti Royal Enfield, Raeligh, New Hudson, BSA, Philips, dan Hercules.

Comments