Manfaat pusat komuniti setempat

SEREMBAN - Pusat Komuniti yang dibangunkan di taman perumahan di negeri ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk sebagai lokasi untuk mengukuh dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pusat seperti itu adalah lokasi yang pa-ling sesuai untuk penduduk bertemu dan bertanya khabar serta berkongsi maklumat mengenai keadaan semasa di taman perumahan masing-masing.
Katanya, dalam pertemuan seperti itu pelbagai aktiviti sam­pingan boleh dianjurkan seperti sukan dan riadah kerana ia akan merapatkan hubungan sesama penduduk.
"Selama ini, perpaduan yang telah mengikat sesama ahli masyarakat untuk hidup dalam damai dan harmoni dalam negara pelbagai kaum ini.
"Malangnya hari ini, institusi masyarakat terutamanya di bandar semakin longgar akibat kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga sendiri hingga tiada masa untuk bercampur gaul dengan masyarakat di sekeliling," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Komuniti Taman Marida, Senawang di sini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd Wahid; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abdul Halim Abdul Latif; Mufti Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Yusof Ahmad dan Pengerusi KRT Taman Marida II, Datuk Sudin Kamari.
Pada majlis itu, Mohamad me-rasmikan bangunan pusat komuniti seluas 278 meter persegi itu dengan kemudahan dewan yang mampu memuatkan sehingga kira-kira 130 orang dan bilik mes­yuarat untuk 25 orang.
Bangunan itu dibina oleh MPN dengan kos RM250,000.
Mohamad menarik perhatian, pusat komuniti itu dibina bagi kegunaan semua orang dan bukannya untuk segelintir masyarakat sahaja.
Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju mewujudkan pusat itu bagi memastikan falsafah membangunkan negeri dan men­sejahterakan rakyat dapat dijayakan.
Beliau memberitahu, pusat komuniti sama siap dibina di Taman Alamanda manakala dua buah lagi sedang dalam pembinaan di Taman Ixora dan Taman Lily yang kesemuanya terletak di Senawang .



Comments