‘Saya nak lihat anak pulih semula’

BAHAU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang dapat digambarkan apabila melihat penderitaan dialami seorang kanak-kanak di sini, yang memerlukan dana hampir RM27,000 untuk menapung kos pembedahannya.
Kisah Adib Rasul Dzulkarnain, 1 tahun 9 bulan yang disahkan menghidap penyakit nager syndrome iaitu mempunyai masalah pernafasan kronik turut tular di Facebook dan WhatsApp.
Sinar Harian difahamkan pembedahan kali ini untuk memasang rahang di bahagian bawah mulut bagi membolehkannya menjalani kehidupan seperti biasa.
Ibunya, Noorbaizura Mohd Farid, 35, mengakui sewaktu mengandungkan Adib dia tidak mengalami sebarang masalah, namun sebaik dilahirkan pada Disember 2015 di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, anaknya itu dikesan mempunyai masalah pernafasan.
“Adib kemudiannya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN, bagaimanapun keadaannya semakin serius lalu dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.
“Enam bulan Adib di ICU HTJ yang mana dia terpaksa bernafas melalui mulut dengan bantuan mesin pernafasan. Seterusnya pada 27 Jun 2016, pihak perubatan ambil keputusan membuat pembedahan di bahagian leher untuk tujuan pernafasan.
“Pembedahan selamat dijalankan dekat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Adib kini mampu bernafas melalui leher,” katanya memberitahu penyakit dihidapi Adib adalah kes kedua yang berlaku di Malaysia.
Noorbaizura berkata, rawatan di PPUM mengambil masa dua bulan susulan pantauan perlu dilakukan.
“Kini Adib perlu jalani pembedahan lagi untuk memasang rahang di bahagian bawah mulut.
 “Pembedahan itu dijangka pada Disember ini, namun kami hadapi masalah kewangan. Saya terpaksa berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada Adib manakala suami, (Dzulkarnain A Hawan, 33) hanya bekerja di Pos Malaysia,” katanya.
Difahamkan, kos pembedahan pertama masih belum dibayar lagi, selain perlu menanggung kos pembedahan kedua pada Disember nanti.

Noorbaizura berharap orang ramai dapat membantu bagi membolehkan anaknya itu pulih semula seperti kanak-kanak normal yang lain. – SH Online

Comments