SEREMBAN – Pertumbuhan ekonomi Bumiputera pada masa akan
datang akan dijadikan salah satu agenda pada Persidangan Agung Persatuan
Pribumi Perkasa (Perkasa) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 dan 19
November ini.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, sektor ekonomi
orang Melayu akan dijadikan sebagai agenda utama pada persidangan konvensyen
itu bagi memastikan pembangunan ekonomi orang Melayu terus terpelihara.
Beliau berkata, dasar kesamarataan yang dilaung-laungkan
kerajaan amat membimbangkan kerana khuatir keistimewaan orang Melayu hilang
begitu sahaja.
“Perkasa mendesak supaya agenda Bumiputera dijadikan
sebagai dasar induk kerajaan, terutama dalam soal ekonomi orang Melayu.
“Misalnya dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, kita akan
mengkaji dan mengupas secara menyeluruh
sejauh mana ia mampu melonjakkan penguasaan Bumiputera. Sedangkan kaum
lain juga diberi keistimewaan yang hampir sama dengan Bumiputera.
“Oleh itu, sempena konvensyen Perkasa ini, kita akan
adakan forum mengenai Bajet 2018 bagi
mendapatkan pandangan dan lontaran idea terhadap bajet tersebut,” katanya pada
Jamuan Mesra Pra AGM Perkasa Negeri Sembilan di Hotel Sutera di sini, kelmarin.
Turut serta Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan,
Khaidir Jamal.
Sementara itu, Khaidir mencadangkan agar peningkatan kos
sara hidup, harga rumah meningkat dan kenaikan harga minyak petrol dapat
dibentangkan pada AGM Perkasa nanti.
Menurutnya, pihaknya selalu menerima rungutan daripada
orang kampung yang mengeluh terhadap kenaikan harga barang dan petrol.
“Macam mana orang Melayu terutama masyarakat kampung tak
mengeluh, barang semuanya naik. Kerajaan perlu lakukan sesuatu dengan mengambil
kira kesan jangka panjang dalam usaha membantu rakyatnya secara menyeluruh,”
katanya.
Beliau berkata, pemberian BR1M hanya untuk seketika
sahaja dan bukan dapat menyelesaikan masalah itu secara berterusan.

Comments
Post a Comment