Hanya minum susu guna tiub

KUALA PILAH - Seorang warga emas yang terlantar akibat penyakit angin ahmar kini hanya bergantung harap kepada isterinya dan anak-anak bagi menguruskan kehidupan sehariannya.

Abd Hamid Nordin, 75, juga hanya bergantung kepada susu khas yang disalurkan menerusi hidung melalui tiup setiap tiga jam.
Malah, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) ini, turut menghidapi penyakit darah tinggi dan menggunakan lampin pakai buang setiap hari.
Isterinya, Khatijah Kassim, 70, berkata, suaminya diserang angin ahmar buat kali kedua sehingga mengakibatkannya tidak mampu bergerak dan terbaring di atas katil.
“Serangan kedua berlaku pada 16 Oktober lalu selepas solat Subuh kira-kira jam 7 pagi, suami secara tiba-tiba tidak boleh bercakap.
“Saya bergegas hantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Doktor sahkan suami hidap strok sebelah kanan.
“Sebelum ini masa serangan kali pertama, suami dapat rawatan di hospital dan kembali pulih seperti biasa. Kali ni teruk hingga tak boleh berjalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Sungkak.
Kata Khatijah, sumber kewangan bergantung kepada wang pencen dan pastinya tidak mencukupi.
“Duit tu guna untuk beli keperluan lampin pakai buang dan susu khas untuk suami. Memang jika difikirkan tak cukup.
“Suami bersara tahun 1997. Masa tu gaji taklah besar mana. Pencen pula tak banyak. Anak pun ada tanggungan sendiri,” katanya.
Difahamkan, Abd Hamid juga pernah berkhidmat dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) pada 1974 hingga 1984 bagaimanapun tiada pencen.
Dalam pada itu, Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim bersimpati di atas apa yang menimpa keluarga berkenaan.
Beliau hadir menyampaikan sumbangan susu khas, lampin pakai buang serta keperluan lain kepada keluarga berkenaan.
Bagi jangka masa panjang, Ismail menyarankan agar Khatijah memohon bantuan dari Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban yang ditanggung.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Awaluddin Ahmad.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi Khatijah ditalian 019-6829345 atau 017-7127610.

Comments