Impian penggali kubur jadi bomba, tercapai

NILAI - Penggali kubur dan penoreh getah antara 31 peserta yang berjaya menamatkan kursus latihan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 2/2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai semalam.

Masing-masing Ameroll Fahmee Azmiee, 20, dan Mohd Syakir Suraihan Mohd Nor, 20, melahirkan rasa syukur kerana telah terpilih mengikuti kursus selama 10 hari berkenaan, malah bersedia untuk berkhidmat.
Berkongsi kegembiraan, Ameroll Fahmee berkata, dia menempuh pelbagai pengalaman dalam bidang pekerjaan termasuk sebagai penggali kubur di kampungnya di Pasir Besar, Gemas.
“Saya juga pernah jadi mekanik dan buat pelbagai kerja kampung bagi membantu keluarga memandangkan saya anak sulung dari tiga beradik.
“Saya rasa bertuah kerana seorang anggota bomba telah memberitahu saya mengenai peluang menjadi PBB. Alhamdulillah permohonan saya telah berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Tamat Latihan PBB Siri 2/2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, di sini, semalam.
Ameroll Fahmee berkata, dia sememangnya meminati kerjaya lasak seperti itu dan berharap dapat memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
Sementara itu, Mohd Syakir yang mempunyai kelulusan dari Institut Latihan Perindustrian di Pedas, Rembau pernah menjadi penoreh getah selama dua bulan sementara menunggu peluang pekerjaan lain.
“Saya tak kisah kerja apa pun, janji halal. Lagipun saya suka mencuba dan bila dapat tahu peluang menjadi PBB dari kawan-kawan, saya tak lepaskan peluang untuk memohon.

“Lagipun saya memang berminat dengan kerjaya bomba dan pernah membuat permohonan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tapi tiada rezeki. Alhamdulillah, impian saya kini tercapai,” katanya.

Comments