JPS, MPS kaji punca banjir kilat di Seremban

SEREMBAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sedang mengenal pasti punca kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar dan Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, kedua-dua pihak masih meneliti masalah yang berlaku selepas hujan lebat kira-kira tiga jam petang semalam.
"Bencana alam seumpama ini adalah di luar jangkaan semua pihak dan ada yang mengalami kerugian dan kerosakan harta benda.
"Kita harap semua pihak yang terjejas dapat bersabar dan mereka juga perlu waspada dan meningkatkan pengawasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di kawasan masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Antara kawasan yang terjejas termasuklah tingkat bawah stesen bas dan pusat beli-belah Terminal One, Jalan Tuanku Munawir, Taman Sri Pulasan, Jalan Labu, Taman Jasper dan Taman Mutiara Galla 11.
Sementara itu, beberapa peniaga di Terminal One ketika ditemui berkata, banjir kilat yang menjejaskan tingkat bawah pusat beli-belah itu merupakan kali kedua berlaku selepas kejadian sama kira-kira enam tahun lalu.
Kejadian dipercayai berpunca daripada paras air dari sungai berdekatan naik mendadak akibat hujan lebat seterusnya melimpah ke premis tersebut.
Menurut seorang peniaga makanan, Zainah Harun, 67, dia tidak menyangka kejadian enam tahun lepas berulang kembali apabila kedainya dinaiki air kira-kira pukul 5.45 petang.
"Apabila menyedari air mula melimpah, saya mengemas barang-barang perniagaan kerana khuatir ia rosak. Pengalaman kali pertama dilanda banjir enam tahun lalu memberi pengajaran supaya bersedia lebih awal," katanya ketika ditemui di sini.
Pemilik salun, Hana Afina Abdullah, 27, berkata, dia menghentikan operasi perniagaannnya lebih awal kerana bimbang berlaku kerosakan kerana air masuk terlalu cepat sehingga ke paras buku lali. - UTUSAN ONLINE




Comments