KUALA PILAH – Seramai 20 pengarah negeri Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengadakan lawatan di Muzium
Diraja Seri Menanti, di sini, baru-baru ini.
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah
Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Mohd Nazim Abd Gaman
berkata, sesi lawatan bermula dengan peserta rombongan mendengar taklimat
mengenai kerja-kerja pemuliharaan dan menaik taraf Muzium Diraja Seri Menanti.
Menurutnya, penerangan itu disampaikan oleh Jurutera
Daerah, Ir Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah.
“Lawatan julung kali ini dianjurkan bertujuan melihat
kerja-kerja pemuliharaan dan menaik taraf bangunan kayu muzium yang telah
mencecah usia 109 tahun.
“Sudah semestinya keunikan pembinaan muzium ini dikagumi
oleh masyarakat luar disebabkan pembinaannya tanpa menggunakan paku.
“Malah muzium ini turut mendapat pengiktirafan sebagai
Warisan Kebangsaan daripada Jabatan Warisan Negara dan Malaysia Book Of Record
(MBOR), sebagai istana kayu tertinggi di Asia Tenggara yang dibina tanpa
menggunakan paku pada 2009,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, ketika ini muzium ditutup kepada pelawat kerana
kerja-kerja pemuliharaan dan menaik taraf sedang dilakukan.
“Muzium ini sering jadi tumpuan ramai pihak terutamanya
dari luar untuk datang melihat perlaksanaan kerja-kerja tersebut.
“Tidak mudah untuk memulihara bangunan berusia ratusan
tahun ini. Ketelitian amat dititikberatkan dan pastinya tanggungjawab besar
dipikul oleh kontraktor yang dilantik,” katanya.
Dalam pada itu, rombongan ini disertai oleh Pengurus
Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi CIDB), Datuk Ir Elias Ismail; Pengurus
Besar Kanan Sektor Operasi CIDB, Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamarani dan
Pengarah Lembaga CIDB, Ahmad Ridzuan Ismail.
Difahamkan, lawatan itu bersempena Mesyuarat
Pengarah-pengarah Negeri Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
yang diadakan di Klana Resort, Seremban.
Terdahulu, muzium ini turut dikunjungi oleh Perbadanan
Muzium Negeri Melaka, Lembaga Muzium Negeri Perak dan Jabatan Warisan Negara.

Comments
Post a Comment