SEREMBAN - Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan
tengah hari. Demikian nasib menimpa Sarina Abdul Manap, 40.
Walaupun hidupnya sederhana, dia bahagia bersama keluarga
tercinta di Kampung Siliau Tengah, Rantau, di sini.
Namun dunia gelap gelita apabila suami yang menjadi
tempat bergantung dijemput Ilahi akibat kemalangan jalan raya di Jalan
Labu-Seremban pada 19 Jun lalu.
Buntu memikirkan masa depan bakal ditempuh, apatah lagi
dengan tiga cahaya mata yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.
Lebih merunsingkan, suaminya turut meninggalkan hutang
pinjaman pendidikan RM36,281.53 ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara
(UiTM) suatu masa dahulu.
Bagaimanapun di sebalik ranjau berliku terpaksa disusuri,
muncul sinar harapan buat ibu tunggal ini.
Perkhabaran dibawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) ketika membuat kunjungan di kediamannya semalam mengubat
kedukaannya.
Menurut Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan
Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, segala hutang Allahyarham
Muhamad Zaki Abu Hassan, 39, tidak perlu ditanggung Sarina.
“Melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok
Pinjaman Pendidikan PTPTN, pinjaman selesai sepenuhnya.
“Selain itu, waris Allahyarham turut menerima RM1,500
bagi khairat kematian,” ujarnya selepas menyerahkan surat pengesahan
penyelesaian keseluruhan hutang berkenaan kepada Sarina.
Pada masa sama, Abdul Ghaffar turut memuji Allahyarham
Muhamad Zaki yang disifatkan cukup mengambil berat kebajikan keluarga, ekoran
tindakannya membuka akaun SSPN-i Plus untuk ketiga-tiga anaknya kira-kira
sebulan sebelum meninggal dunia.
“Allahyarham adalah pendeposit SSPN-i Plus di bawah Pakej
Intan dengan simpanan RM30 sebulan bagi setiap anak, mulai Mei lalu.
“Sehubungan itu, Allahyarham dilindungi dengan manfaat
perlindungan takaful iaitu kematian akibat kemalangan sebanyak RM40,000 bagi
setiap akaun dimiliki. Jadi, keseluruhan manfaat diterima berjumlah RM120,000.
“Khairat kematian RM2,500 bagi setiap akaun turut diberi
apabila berlaku kematian melibatkan pendeposit. Waris juga menerima nilai tunai
bagi simpanan takaful sebanyak RM5.04 bagi setiap akaun, menjadikan jumlah
keseluruhan yang diterima berjumlah RM127,515.12.” katanya.
Sementara itu, Sarina berazam meneruskan usaha
Allahyarham suaminya yang menabung dalam SSPN-i Plus.
“Dia ada bincang dengan saya. Tapi masa dia buat simpanan
tu, saya tak tahu. Agak terkejut juga bila dapat tahu dia ada tinggalkan
simpanan, sebab dia masuk (buka akaun) pun melalui majikan,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Hong
Leong MSIG Takaful, Yassir Azlin Abdul Ghafar dan Pengurus Besar Jabatan
Perbendaharaan PTPTN, Ainudin Ramdan Ab Rashid.

Comments
Post a Comment