Padah beri komen palsu di Facebook

BAHAU - Seorang anak peneroka Felda mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau semalam, di atas pertuduhan memuat naik komen palsu di Facebook.

Tertuduh, Muhammad Naim Zelkifle, 21, yang memakai songkok tiba di mahkamah ditemani ahli keluarganya pada jam 8.30 pagi.
Dia kelihatan tenang ketika kertas pendakwaan dibacakan oleh jurubahasa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Naim pada 6 September lalu, lebih kurang jam 1.40 petang di jalan Bahau-Kemayan dalam daerah Jempol di Negeri Sembilan, didapati menggunakan Facebook memuat naik komen palsu menuduh polis meminta wang daripada orang ramai dalam satu sekatan jalan raya.
Komen itu berbunyi “roadblock (sekatan jalan raya) polis selepas (stesen) BHP baru Mahsan, check (periksa) saman lampau hati-hati kalau boleh lalu tompek (tempat) lain lah yo, dah saman orang, makan duit paw (rasuah) lagi tak patut betul huh ... “di laman Facebook N9RPTER dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Muhammad Naim didapati melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.
Dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
Tertuduh bagaimanapun memohon denda dikurangkan susulan perlu menyara keluarga, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh membayar denda RM2,000 selepas meneliti rayuan.

Comments