SEREMBAN: Pasangan pengantin yang mengadakan majlis
pernikahan di masjid, perlu menjaga adab dan larangan yang ditetapkan oleh
institusi itu supaya kesuciannya terpelihara.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata
adab yang maksudkan termasuk etika pemakaian iaitu berpakaian sopan dan menutup
aurat, tingkah laku serta melarang wanita yang tidak suci berada dalam masjid.
Katanya, ketika ini perkara tidak menjaga adab masih
berlaku, terutama ketika majlis pernikahan apabila ramai orang berkumpul.
"Niat mengadakan akad nikah di masjid itu baik dan
tidak di larang, tetapi adab dan pantang larang ketika berada di dalam masjid
perlu dijaga kerana masjid mempunyai kemuliaan.
"Jika adab itu dapat dijaga, ia dapat mengelak
daripada berlakunya sesuatu tidak diingini seperti salah faham yang akan
mewujudkan pertelingkahan antara pihak keluarga dengan pegawai masjid,"
katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusof mengingatkan pentadbir masjid
supaya memastikan setiap penceramah dari luar yang ingin menyampaikan ceramah
di masjid mempunyai tauliah daripada Jabatan Mufti negeri.
Katanya, pentadbir masjid perlu membuat permohonan kepada
jabatan itu terlebih dahulu dan tidak terus memanggil penceramah terbabit
walaupun individu berkenaan dikenali ramai.
"Tujuan kita kita berbuat demikian adalah untuk
memantau supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan memecahbelahkan
masyarakat Islam, selain apa yang disampaikan itu mengikut ajaran Ahli Sunnah
Wal Jamaah," katanya.

Comments
Post a Comment