Pasar Tani Dalam Masjid, Pertama Kali Di Negeri Sembilan

FAMA telah melebarkan konsep perniagaan pasar tani di pekarangan masjid bagi memberi peluang perniagaan kepada komuniti setempat. Terbaru, Masjid Saidina Ali adalah masjid PERTAMA dalam Negeri Sembilan yang membuka pasar tani, sekaligus menjadi lokasi ketujuh masjid dalam negara ini menempatkan pasar tani.


Sebelum ianya dibuka di masjid ini, FAMA telahpun membuka pasar tani tersebut di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Dengan konsep seperti ini ia dapat membuat satu perubahan bagi memberi peluang kepada ahli kariah untuk berniaga di pusat-pusat ibadah.
Konsep yang dilakukan adalah contoh yang dapat kita lihat di Makkah dan Madinah, dimana selain dijadikan tempat beribadah, masjid juga merupakan tumpuan untuk menjana pendapatan, sekali gus ia membantu mengimarahkan lagi masjid. Seharusnya juga budaya ini perlu diterapkan di Malaysia supaya masjid sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti berfaedah
Dipetik daripada sebuah akhbar tempatan pada 31 Oktober 2017 bertempat di perkarangan Masjid Saidina Ali, Pengerusi FAMA Malaysia, Tan Sri Datuk Paduka Badruddin Amiruldin telah hadir dalam sesi program taklimat khas FAMA bersama belia Parlimen Kuala Pilah. Dalam ucapannya mengatakan bahawa konsep berkenaan mempunyai prospek yang amat baik dalam negara ini.
Badruddin yang ditemubual sewaktu berada dalam sesi program taklimat khas FAMA bersama belia Parlimen Kuala Pilah di perkarangan Masjid Saidina Ali, Senaling, Kuala Pilah
“Pengenalan konsep pasar tani masjid oleh FAMA adalah usaha yang dapat memberi faedah kepada penjual dan pembeli. Malah bukan saja boleh membeli-belah, ibadah juga tidak dilupakan kerana lebih mudah untuk peniaga dan pembeli menunaikan solat di sini,” katanya.
Hadir sama dalam sesi taklimat berkenaan adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek; Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar dan Pengarah Fama Negeri, Muslim Manja.
Sambutan yang diterima daripada penduduk setempat terhadap pelaksanaan pasar tani masjid tersebut sangat memberangsangkan. Pengguna di sekitar kawasan ini juga tidak lagi menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan basah yang diperlukan, kerana terdapat banyak barangan keperluan dipasarkan di sini. Harganya pula jauh lebih rendah sekiranya dibanding di pasaraya-pasaraya.
Dalam masa yang sama, Datuk Badruddin menggalakan ahli kariah masjid yang berminat untuk menyediakan tapak pasar tani untuk datang ke pejabat FAMA berdekatan.

Sementara itu, seramai 45 peserta telah membuka gerai semasa sesi taklimat itu. Pelbagai produk telah dijual termasuklah lima kenderaan saji (Food Truck) dengan jumlah kutipan jualan sebanyak RM13,000.

Comments