SEREMBAN - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan
sebanyak RM6 juta bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf Pasar Besar
Seremban di sini yang terjejas dalam kebakaran pada September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebuah
syarikat yang mempunyai rekod baik dalam senarai Jabatan Kerja Raya dan Majlis
Perbandaran Seremban (MPS) telah dilantik bagi kerja-kerja tersebut yang
dijangka siap pada Jun tahun depan.
“Kita membuat keputusan untuk melantik syarikat itu
melalui rundingan terus kerana jika melalui sistem tender akan mengambil masa
yang lebih lama dan melambatkan kerja baik pulih.
“Kita juga menetapkan tempoh lapan bulan untuk projek itu
siap sepenuhnya termasuk kerja membina semula 292 gerai di tingkat atas pasar
itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada peniaga
di Pasar Besar Seremban di sini hari ini.
Seramai 304 peniaga yang terjejas dalam kebakaran di
pasar itu masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM1,500.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak
Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu
Ubaidah Redza; Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abd. Latif dan Pengerusi
MCA negeri, Datuk Seri Dr. Lim Chin Fui.
Dalam pada itu, Mohamad meminta pihak MPS supaya
menyediakan kemudahan eskalator (tangga bergerak) untuk kemudahan orang ramai
terutama warga tua yang berkunjung ke pasar berkenaan.
“Pasar ini juga menjadi tempat pertemuan bagi warga tua,
mereka datang ke sini berjumpa kawan lama. Saya harap pihak MPS sediakan bajet
untuk letak eskalator dan kerajaan negeri akan membantu. Ini akan memudahkan
warga tua yang tidak kuat untuk naik tangga ke tingkat atas,” katanya.
Ujarnya, beliau melihat kewujudan pasar itu menjadi nadi
kepada kerancakan aktiviti di pusat bandar Seremban dan tidak bercadang
memindahkannya ke lokasi lain.
“Sebab itu saya batalkan cadangan yang dibuat sebelum
tahun 2004 untuk memindahkan pasar ini ke Bukit Kepayang, walaupun pasar
tersebut telah siap. Kalau pasar ini berpindah, bandar Seremban akan ‘mati’
sebab ia umpama jantung dan nadi kepada bandar ini,” katanya.

Comments
Post a Comment