SEREMBAN - “Saya ingatkan perut saya besar, sebab gemuk.
rupa-rupanya saya kendong 20 kilogram ketumbuhan,“ kata Suraida Mohammad, 41,
yang baru sahaja dibedah awal bulan ini akibat penyakit kanser ovari tahap
tiga.
Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak ini berkata,
perutnya membesar sejak setahun lalu dan mula mengalami kesakitan ketika
Aidiladha lalu sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan.
Suraida kemudian merujuk masalah itu di Klinik Kesihatan
Ampangan, bagaimanapun diminta ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini
berikutan keadaannya yang dilihat membimbangkan.
“Bila buat ujian CT scan (imbasan tomografi berkomputer)
di HTJ, barulah saya tahu ada ketumbuhan dalam perut disebabkan kanser ovari.
Saya perlu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu termasuk membuang
rahim, apendiks dan kilang telur. Saya sendiri terkejut bila doktor tunjuk
ketumbuhan itu sebesar hampir dua topi keledar," katanya.
Menurutnya, penyakitnya itu juga berisiko sekiranya
lambat ambil tindakan segera.
“Kalau lambat
dibedah, saya mungkin dalam bahaya jika ketumbuhan itu pecah,” katanya ketika
ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.
Suraida bagaimanapun berkata, dia kini lega dan bersyukur
kerana berat badannya yang dahulu 82 kilogram kini menurun kepada 61 kilogram
sebaik sahaja ketumbuhan itu dibuang.
Selepas ini, katanya, dia perlu menjalani rawatan
kemoterapi pula sebanyak enam kali bagi membunuh segala sel kanser yang
terdapat pada badannya.
“Terus terang cakap, saya tak pernah terfikir akan diuji
sebegini. Doktor ada beritahu ia mungkin berpunca daripada sakit senggugut yang
kerap dialami sejak 2009.
“Cuma sekarang saya agak sedih sebab tak boleh buat
apa-apa, terpaksa bergantung pada orang. Mujurlah kakak saya, Shamsiah banyak
membantu ketika suami pergi bekerja,” katanya yang turut menerima bantuan
bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Difahamkan, suami Suraida merupakan seorang pengawal
keselamatan dan perlu menanggung kesemua anak mereka yang masih bersekolah.
Sementara itu, nasib Suraida itu mendapat perhatian Exco
Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Datuk
Abu Ubaidah Redza selaku Adun Ampangan, serta pemimpin setempat.

Comments
Post a Comment