SEREMBAN – “Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua
dan masih dapat mengimamkan solat isteri meskipun terpaksa bercakap menggunakan
alat bantu suara,” kata bekas Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Prof Madya Dr Jumali Selamat, 63, yang kini derita menghidap penyakit
kanser peti suara tahap tiga sejak lapan bulan lalu.
Menurutnya, dia yang merupakan perokok tegar sejak
berusia 20 tahun tidak menyangka suaranya yang serak pada hujung tahun 2013
adalah petanda awal dia menghidap penyakit itu sehinggalah suaranya hilang
tiba-tiba pada hujung tahun 2016.
“Saya tak terfikir ia menjadi serius begini. Cuma bila
saya sukar nak bernafas, barulah saya pergi ke hospital.
“Doktor mengesyaki saya menghidap penyakit radang
paru-paru, ” katanya.
Bagaimanapun dua minggu selepas itu, bapa kepada empat
anak ini sekali lagi mengalami kesukaran untuk bernafas dan menjalani
pembedahan buat kali kedua membuang peti suaranya selepas disahkan menghidap
kanser.
Malah ketika itu isterinya Zaitun Sarbini, 63, yang
merupakan pesara guru pula diduga dengan penyakit kanser payudara tahap
kritikal.
“Ini semua ketentuan ALLAH. Walaupun diuji begini, tapi
saya bersyukur kerana kami bersama mengharunginya.
“Sekarang ini saya bernafas menggunakan lubang yang
ditebuk pada leher kerana hidung tidak lagi berfungsi.
“Jika nak bercakap saya perlu menggunakan alat bantu
suara atau (elektrolarynx) yang harganya RM4,200. Walaupun sukar, tapi saya
bersyukur kerana tidak alami masalah kesihatan lain dan telah berhenti merokok
Januari tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia
Jiboi, Ampangan di sini, semalam.
Terdahulu beliau menerima kunjungan Naib Ketua Puteri
Umno Negeri Sembilan, Zabedah P.Mastar dalam program Puteri Peduli 2.0
peringkat negeri yang diadakan serentak di seluruh negara.
Comments
Post a Comment