KUALA LUMPUR: Jentera UMNO khususnya tentera siber parti
hanya mempunyai kurang empat jam untuk menangkis tohmahan, persepsi atau fitnah
siber di media sosial.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata
jika tempoh itu gagal dimanfaatkan, parti dianggap tewas dalam pertarungan di
medan media sosial, sekali gus memerlukan usaha lebih keras untuk menangani isu
dibangkitkan pembangkang.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata,
tindakan pantas tentera siber perlu kerana dalam persekitaran hari ini,
penyebaran maklumat berlaku dalam kadar segera.
"Kita mesti cepat. Kitaran berita dalam media sosial
bukan lagi 12 atau 24 jam, sebaliknya ia berterusan. Oleh itu kita hanya ada
maksimum empat jam untuk memberi maklum balas kepada sesuatu isu.
"Jika tidak, isu itu akan diletakkan mengikut sudut
pandangan rakyat atau netizen dan jika nak kejar semula untuk memperbaiki
persepsi itu, ia sudah terlambat.
"Tempoh kitaran sesuatu isu sangat pendek dan jika
tidak dapat dijelaskan dalam tempoh tiga atau empat jam, kita ketinggalan dan
tewas dalam isu itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Media Sosial
UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini yang dihadiri lebih 3,000
ahli UMNO.
Khairy yakin jentera parti dapat membentuk persepsi
positif terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika setiap individu berperanan
dalam medan perang media sosial.
Jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah PRU pertama
yang menyaksikan medan sosial menjadi wadah penting menentukan pola pengundian,
beliau berkata, PRU-14 bakal membawa perubahan sangat besar kerana lebih ramai
rakyat menggunakan media sosial dalam komunikasi harian.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera parti supaya
tidak membuat serangan peribadi terhadap pihak lawan kerana pendekatan itu
tidak disenangi rakyat dan mampu mencetuskan simpati rakyat kepada lawan.
"Kita juga mestilah informatif dalam menjelaskan
dasar dan pendekatan kerajaan selain tidak mudah melenting jika dikecam.
"'Be cool'... jika kita mudah melenting, ia akan
menjadi kecaman kedua," katanya.

Comments
Post a Comment