Peruntukan diumumkan kerajaan bukan dedak, gula-gula


TAMPIN - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyangkal dakwaan pembangkang bahawa peruntukan pembangunan yang diumumkan kerajaan selama ini merupakan ‘dedak’ atau gula-gula kepada rakyat.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri menegaskan peruntukan tersebut membuktikan kerajaan mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan tidak bankrap.
Jelasnya, peruntukan itu juga adalah manifestasi atau terjemahan kepada keprihatinan kerajaan dan bukan bersifat riak atau takbur.
“Ini bagi menjawab kononnya kerajaan bankrap, hutang negara meningkat, GST (cukai barang dan perkhidmatan) digunakan untuk bayar hutang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan kononnya kerajaan susahkan rakyat.
“Kalau kerajaan bankrap takkan saya boleh umumkan kelulusan pembinaan kompleks sukan di Gemencheh bernilai RM5 juta dan jambatan RM3.5 juta di Gemas (hari ini). Kerajaan ada duit dan mahu menolong rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan kira-kira 7,000 tetamu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, disebabkan kerajaan banyak menyalurkan bantuan dan menyediakan kemudahan, timbul tanggapan dalam segelintir masyarakat bahawa tidak perlu untuk berterima kasih kepada kerajaan.
“Mana ada negara lain hospital (kerajaan) cuma kena bayar RM1 untuk rawatan, kos pembedahan cuma RM300 dan ini jauh lebih murah daripada bayaran di hospital swasta.
“Ya, itu memang hak yang diterima rakyat tapi cuba bandingkan dengan rakyat di negara lain termasuk di Asean,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada balu-balu anggota polis Tampin antaranya balu Ketua Polis daerah, Allahyarham Deputi Superintenden Hamazah Ab. Razak yang meninggal dunia awal bulan ini. - UTUSAN ONLINE




Comments