Sokongan semua kaum penentu kemenangan


SEREMBAN – Melihat se­nario politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah yang tidak ‘serancak’ dahulu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Norhayati Omar dilihat calon terbaik untuk mempertahankan kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Walaupun misi itu dianggap getir memandangkan beliau ha­nya menang tipis dengan 113 undi dalam PRU-13 lalu, Norha­yati tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa berusaha ‘memikat’ hati pengundi di kawasan berkenaan.
Beliau yang tidak menjanjikan kemenangan mudah dan selesa ekoran kemerosotan sokongan pengundi, Norhayati ber­usaha gigih dalam memperbetulkan kekurangan dan kesilapan di samping mengolah sistem gerak kerja lebih teratur bagi mengembalikan kepercayaan pengundi di kawasannya.
Sejak hari pertama diberi mandat oleh rakyat Pilah untuk membela nasib mereka, Norha­yati melakukan perubahan demi perubahan terutama dalam aspek pembangunan masyarakat.
Memulakan dengan program Ziarah Sayang yang dikelola bersama Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) serta beberapa agensi kerajaan lain, beliau me­lakukan ziarah dari rumah ke rumah penduduk di sekitar Pilah untuk menghulur bantuan dan mendengar denyut nadi rakyat.
Norhayati sedar bahawa so­kongan daripada kaum Cina dan India juga penting dalam membantu BN terus berkuasa di DUN Pilah sekali gus membolehkan rakyat pelbagai kaum merasai pembangunan setan­ding daerah lain.
Oleh yang demikian, bantuan kepada dua kaum tersebut tidak pernah diabaikan khususnya menjelangnya musim perayaan ma­sing-masing.
Keprihatinan itu memberi gambaran yang jelas bahawa mereka tidak sesekali dipinggirkan.
Dilihat sebagai calon yang mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU-13 lalu, perjuangan politik Norha­yati yang berpaksikan pada komitmen membantu rakyat, memberi ke­utamaan pada aspek pembangunan dan kebajikan yang diharap dapat menyemai sokongan orang ramai menjelang PRU-14.
Mengikut laporan daftar pemilih terkini setakat 30 November 2017, jumlah pengundi di DUN Pilah (N18) berjumlah 13,431 dengan pecahan Melayu 66.79 peratus; Cina (24.38 peratus); India (8.28 peratus) dan lain-lain (0.55 peratus).
Dengan pertambahan pengundi Melayu di kawasan tersebut, BN dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN Pilah dengan pertambahan undi. - Utusan Online

Comments