Amukan puting beliung

KUALA PILAH - Lebih 10 rumah rosak dan ranap dihempap pokok tumbang dalam satu kejadian angin puting beliung di Mukim Ulu Jempol, Batu Kikir, petang kelmarin.

Kejadian yang didakwa sejarah paling buruk sejak 30 tahun itu, turut menyebabkan sebuah rumah terbakar kira-kira jam 6 petang, di Kampung Tampin/Pus Tengkek di sini.
Dianggarkan lebih 10  rumah di Kampung Tapak dan Kampung Majau rosak akibat amukan angin itu.
Mangsa kebakaran, Zulkipli Md Sharif, 57, berkata, dia hanya menyedari rumahnya terbakar setelah dihubungi jiran, Nor Helmi Md Noor, kira-kira jam 6.10 petang.
“Ketika itu saya berada di Seremban, tapi setibanya di rumah jam 9 malam api berjaya dipadamkan anggota bomba dan penyelamat. Ruang utama tingkat atas rumah pusaka berusia lebih 100 tahun ini musnah dan tinggal hanya bahagian dapur sahaja.
“Mujur ketika kejadian, rumah ini tak berpenghuni. Menurut jiran mungkin punca kebakaran dari litar pintas akibat disambar petir,” katanya di temui di Kampung Pus, semalam.
Nor Helmi, 42, berkata, hujan lebat melanda kampung itu jam 5.30 petang, diikuti petir dan ribut.
Bomba dan penyelamat Kuala Pilah dan Bahau memadamkan kebakaran di rumah Zulkipli.
“Sebelum kebakaran, hujan dulu kemudian petir mengakibatkan hampir semua rumah di sekitar kampung ini blackout. Kemudian saya ternampak rumah Zulkipli ada berlaku percikan api di ruang utama.
“Sejurus itu, secara tiba-tiba api merebak dan sekelip mata memusnahkan keseluruhan ruang utama rumah kayu itu dengan hanya 15 minit saja.
“Bila lihat api, saya terus keluar dari rumah dalam keadaan hujan lebat bantu padam kebakaran. Beberapa penduduk kampung juga bantu. Saya hubungi 999 jam 6.15 petang,” katanya.
100 peratus terbakar
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, pasukannya bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan 6.22 petang, melalui pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan.
“Seramai 17 anggota melibatkan dua balai termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Bahau serta satu jentera EMRS bergerak ke lokasi.
“Bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke ruang dapur, namun ruang utama musnah 100 peratus dan punca kebakaran masih disiasat serta tiada kemalangan jiwa.
“Kami juga laksana operasi membersih pokok tumbang di tiga rumah di kampung Tapak, Padang Lebar dan Kampung Pulau. Operasi selesai jam 10 malam,” katanya.
Sembunyi bawah katil
Dalam pada itu, penduduk di Kampung Pauh di sini, mengakui hanya mampu berdoa tanpa henti sewaktu puting beliung berlaku.
Mangsa, Masiah Sharif, 48, berkata, kejadian yang berlaku jam 6.30 petang itu bencana alam paling buruk pernah dialaminya.
“Hujan dengan angin pusing seperti gelombang menerbangkan bumbung rumah saya dan rumah bapa mentua.
"Bapa mentua terpaksa berlindung di bawah katil untuk selamatkan diri bimbang dihempap bumbung mahupun ranting kayu.
“Saya pula terus berdoa sambil berpelukan dengan tiga anak yang masih kecil.
"Saya minta perlindungan dari ALLAH SWT agar hentikan angin kuat dan syukur keadaan pulih dalam tempoh 30 minit.
“Waktu itu, ribut turut mengakibatkan dahan pokok rambutan patah dan beberapa keping zink diterbangkan angin,” katanya.
Suaminya, Nor Ramli Kidam, 38, berkata, waktu kejadian dia berada di luar dan tidak boleh pulang ke rumah kerana hujan lebat.
“Saya bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anak. Hanya mampu berdoa hujan cepat reda dan boleh segera pulang,” katanya.
Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Tapak, Mohamad Zulfa Ikwan Mohamaf Arif, 28, kongsi pengalamannya.
“Semasa hujan, saya ada di dalam pos pengawal dan secara tiba-tiba angin kencang lalu terbentuk pusaran angin menerbangkan bumbung astaka sekolah, pejabat guru, bilik darjah serta menumbangkan enam batang pokok.
“Pokok mangga berusia lebih 50 tahun turut tumbang hingga ranap pagar sekolah.
"Kejadian kali pertama ini memang tidak dapat dilupakan dan jika hujan berterusan mungkin lebih banyak rumah rosak,” katanya.

Comments