EKSKLUSIF: ‘ Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang’ – Tok Mat

DATUK Seri Mohamad Hasan adalah Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-10. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1976. Memulakan kerjayanya sebagai pelatih di Bank Negara, beliau pernah bertugas di Bank Bumiputra Berhad (London) sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Cold Storage (M) Sdn. Bhd.

Dari tahun 1994 sehingga Mac 2004, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan di Cycle & Carriage Bintang Berhad serta memegang beberapa jawatan lain seperti ahli lembaga pengarah di Khazanah Nasional Berhad, Litar Antarabangsa Sepang F1 Malaysia, Pengerusi FIMA Malaysia Berhad, dan Penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd bagi rantau Asia Tenggara.
Ketegasannya dalam menguruskan kerajaan negeri khususnya setelah mengambil alih kerusi Menteri Besar daripada Tan Sri Isa Samad sering mendapat perhatian umum.
Wartawan therakyat.com SYAHRIL A. KADIR menemui beliau semalam untuk mengupas pelbagai perkara mengenai dirinya, politik Negeri Sembilan dan permasalah orang Melayu.
SOALAN: Datuk Seri dilihat sangat pragmatik. Apa yang ‘keluar’ dari mulut Datuk Seri juga sering menjadi perhatian dan tular di media sosial walaupun bukan di kalangan anak Negeri Sembilan, kenapa agaknya?
 MH: Saya bercakap dari isi hati saya. Selalunya saya bercakap di atas asas untuk menasihatkan orang ramai. Saya tak tahulah cakap-cakap saya itu diikuti orang ramai atau tidak.
 Saya bukannya ada agenda tertentu.
Kalau perlu saya nasihat, saya nasihat. Kalau ada perkara tak betul, saya kata tak betul.
 Mana yang perlu saya kata baik, saya kata baiklah.
 Di Negeri Sembilan ni saya rasa orang dah faham cara saya mentadbir.
 Saya nak Negeri Sembilan ni maju, kita tak boleh berlengah-lengah. Kita dah banyak buang masa, masa takkan menunggu kita.
 Bila saudara kata saya pragmatik, itulah cara saya. Jika ada yang tersinggung, saya minta maaf.
(VIDEO) EKSKLUSIF: ' Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang' - Tok Mat
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) beramah mesra dengan tenaga pengajar semasa Lawatan Kerja Ke Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

SOALAN: Bersediakah Datuk Seri andainya diminta untuk bertanding di Parlimen atau dilantik sebagai menteri?
 MH: Saya ni dah biasa dalam dunia korporat. Bertukar kerja banyak. Saya tak memilih di mana saya nak berkerja. Apa saja tanggungjawab yang diberi pada saya, saya akan pikul sebaik mungkin.
Saya cuba buat yang terbaik agar pengakhirannya nanti ia boleh mendatangkan kebaikan untuk orang ramai.
Kita kena buat betul-betul kerana banyak dasar-dasar yang baik akhirnya tidak dilaksanakan dengan baik, maka rakyat tidak dapat menikmati dasar yang sepatutnya.
 Sama ada saya perlu ke pusat atau sebaliknya itu tidak pernah terlintas di hati saya.
Kalau berkerja ni jika dulu terpulanglah kepada syarikat, sekarang terpulanglah kepada Perdana Menteri selaku saya punya bos.
Kalau bos kata saya mesti berada di Kuala Lumpur, saya akan berada di Kuala Lumpur. Kalau perlu kekal, saya kekal.
SOALAN: Setiap kali PRU, kenapa Negeri Sembilan sering diramalkan jatuh ke tangan pembangkang?
MH: Dalam politik memang biasa. Kadang-kadang pihak lawan nak ‘psiko’ kita, ‘psywar’ diaorang memang kuat tapi kita janganlah terganggu sebab ‘psywar’ mereka itu.
 Jangan kita kelam kabut dan tak tentu arah pulak. Mereka memang nak kita jadi macam tu. Saya selalu katakan, kita jangan perkecilkan keupayaan mereka yang berfikir.
 Orang sekarang ni memang semua dah mampu berfikir. Maklumat berada di mana-mana, kita tak boleh nak sorokkan dan kita tak boleh nak tipu-tipu orang. Orang akan tahu. 
Apa yang penting, kita buat kerja elok-elok. Setiap lima tahun kita akan bentangkan ‘report card’ kita pada orang. Orang boleh menilai dan orang boleh melihat sama ada kita bercakap saja ke atau kita berkerja.
Orang boleh menilai sama ada boleh ke tak lagi beri kepercayaan kepada kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional. Cakap-cakap ni biasalah, kadang-kadang datang dari ‘dalam’ pun ada.
Yang penting kita terus buat kerja dan menang pilihan raya. Kita bagi menang dulu pilihan raya, siapa yang nak jadi nakhoda nanti terpulanglah pada Datuk Seri Najib untuk melantik.
Saya tak terganggu langsung dengan kata-kata Negeri Sembilan akan kalah.
Pada 2013, orang kata negeri yang pertama akan kalah dalam pilihan raya adalah Negeri Sembilan, senang jatuh.
Namun Alhamdulillah kita bukan saja menang malah dapat menambah jumlah kerusi dalam dewan.
(VIDEO) EKSKLUSIF: ' Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang' - Tok Mat
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Sambutan Jubli Emas di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Undang Musa Al Haj, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri melihat sokongan pengundi terhadap kerajaan negeri yang Datuk Seri ketuai sekarang ini?
MH: Saya yakin orang tidak akan mudah terpedaya. Pengundi matang. Mereka boleh melihat, mereka boleh menilai. Apa yang menjadi falsasah kerajaan Negeri Sembilan sekarang ialah, kita nak memakmurkan negeri dan terus mensejahterakan rakyat.
Tagline kita memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat…bukti bukan sekadar janji!
Dulu kita belajar dari musim kemarau yang panjang. Kita buat empangan supaya kita tidak lagi mempunyai masalah ketiadaan air.
Kita buat dasar perumahan Negeri Sembilan sendiri. Kita mewajibkan pemaju membina 50 peratus rumah mampu milik daripada jumlah yang nak dibina.
Kita sedang membuat dasar pembangunan luar bandar. Dasar pembangunan 30 tahun Negeri Sembilan (2015-2045). Malaysia Vision Valleynya.
Dua hari lepas saya merasmikan permulaan operasi pembinaan lebuh raya daripada Nilai sampai ke Enstek, nak bersambung dengan jalan Seremban- Senayan. Saya juga dah luluskan proses pengambilan tanah jajaran lebuh raya baru daripada KLIA nak bersambung dengan LEKAS di Seremban, macam-macam.
SOALAN: Apakah usaha kerajaan negeri dalam mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam bab sara hidup mereka?
MH: Kerajaan negeri memandang serius bebanan kos sara hidup rakyat. Selama saya jadi Menteri Besar Negeri Sembilan saya tak pernah naikkan cukai tanah.
Cukai pintu juga kita tak pernah naikkan kerana saya tak mahu melihat rakyat terus terbeban.
(VIDEO) EKSKLUSIF: ' Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang' - Tok Mat
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau terusan air dari Empangan Triang selepas merasmikan Majlis Perasmian Empangan Triang di Empangan Triang, Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018. 

SOALAN: Jadi dari mana pula kerajaan negeri hendak mendapatkan wang bagi membangunkan negeri ini?
MH: Banyak cara lain untuk kita dapatkan duit bagi pembangunan negeri.
Macam kita jual air mentah kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).  SAINS dah jadi syarikat. Dia bayar lima sen untuk setiap satu kubik meter air. Royalti tetap RM10 juta setiap tahun pada kerajaan negeri. 
Tahun lepas saja kita menerima RM25 juta hasil daripada royalti tetap dan bayaran air mentah daripada SAINS kepada kerajaan negeri.
Dulu semasa menjadi sebahagian daripada Jabatan Bekalan Air, pungutan dari meter tak cukup untuk belanja operasi.
Sekarang bukan saja SAINS dah buat untung tanpa kita menaikkan tarif air pada individu, tetapi boleh pula berupaya membayar RM15 juta (bayaran air mentah) dan RM10 juta royalti kepada kerajaan negeri.
Malah hutang kerajaan negeri dulu juga dah diambil alih oleh SAINS.
Kalau dulu kerajaan negeri terpaksa membayar berpuluh juta setiap tahun, bayar faedah dan bayar pinjaman kerana nak buat empangan sebagai contoh, sekarang ni dah tak perlu bayar lagi.
Maknanya ‘cash flow’ kita dah positif. Dulu kita terpaksa membayar RM50-RM60 juta setahun. Sekarang tak payah bayar lagi RM60 juta, malah kita dapat pulak RM25 juta.
Sebab itu saya kata, negeri perlu diurus seperti sebuah entiti korporat.
Jadi kita tak perlu bebankan rakyat seperti menaikkan cukai tanah yang berapa sen sangatlah yang kita dapat kalau kita buat macam tu.
Kita satu-satunya negeri yang jual air laut. Kita jual kepada pengurusan Jimah Power. Kita jual satu sen untuk satu kubik meter. Untuk itu saja kita dah dapat berbelas juta ringgit.
Banyak lagi cara untuk kita tambah pendapatan kerajaan dengan tanpa membebankan rakyat negeri ini.
Kita bantu rakyat yang miskin, yang menderita, ibu tunggal, orang OKU dan orang tua-tua, kita bantu.
SOALAN: Susahkah mentadbir Negeri Sembilan?
MH: Masalah saya dulu dengan orang parti saya sendiri. Mereka susah nak menyesuaikan diri dengan cara saya mentadbir.
Cara saya A adalah A. B adalah B. Dua campur dua empat, takkan jadi lima.
Memang susah orang nak menerima cara saya dulu tetapi sekarang masing-masing dah faham.
Saya kalau pukul 3 maknanya pukul 3 lah.
Saya tak pernah datang lambat ataupun saya awal sedikit.
SOALAN: Bukan sedikit pengorbanan Datuk Seri bila memilih jadi ‘orang politik’ ye…
 MH: Pengorbanan memang banyak. Dulu masa saya dalam dunia korporat, saya tak ada apa-apa masalah. Senang lenang.
Setiap bulan pergi ke Eropah, pergi ke Jerman, pergi ke Peranchis, pergi ke New York untuk mesyuarat.
Namun seperti yang saya kata pada anak-anak saya, pada keluarga saya, pada kawan-kawan…di satu tahap dalam kehidupan kita, kalau perlu kita berkorban, kita berkorbanlah termasuklah berkorban dari segi pendapatan.
Saya puas hati kerana boleh tolong orang susah dan boleh menyelesaikan masalah orang.
Kalau dulu saya dalam dunia korporat,  kami hanya tumpu pada masalah untung rugi.
Politik pulak macam-macam kita nak kena tengok. Segala yang di bawah matahari kita nak kena tengok.
Kadang-kadang lembu hilang pun telefon saya pukul 2 pagi.
(VIDEO) EKSKLUSIF: ' Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang' - Tok Mat
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Undang Musa Al Haj, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

SOALAN: Mungkinkah ketegasan Datuk Seri membuatkan ramai pihak tidak puas hati?
MH: Orang banyak kata saya tegas. Saya memang tegas. Saya tak kompromi dari hal kualiti kerja.
Kita kena bawak budaya baru dalam dunia politik. Budaya bekerja. Budaya menghasilkan kerja yang baik. Budaya untuk kita dapat menyakinkan orang. 
Sebab itu di Negeri Sembilan ini saya wujudkan budaya penjawat awam bukan lagi menyediakan perkhidmatan tetapi MENAWARKAN perkhidmatan.
 Kalau menyediakan perkhidmatan, duduk di pejabat jelah orang jumpa kita, tetapi kalau kita menawarkan perkhidmatan, kita kena turun bawah supaya orang ramai boleh menikmati dasar-dasar kita.
SOALAN: Mungkinkah ada di antara dasar kerajaan negeri yang tidak menyenangkan rakyat?
MH: Tidak ada dasar yang kerajaan buat untuk menyusahkan rakyat. Selalu yang jadi masalah bila dasar dah bagus tapi kadang-kadang tak diterjemahkan dengan baik, maka orang marahlah.
Contohnya buat rumah murah untuk orang miskin tetapi bagi kat sedara-mara, buat rumah untuk orang miskin tetapi cikgu besar yang dapat, jadi orang marahlahkan.
Buat rancangan Felcra, sepatutnya orang miskin dapat, tapi satu keluarga sampai tiga lot yang dapat.
Akhirnya kita yang patut dapat ‘political mileage’ dah bertukar ‘boomerang’, orang marah pulak pada kita.

 SOALAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perpecahan di kalangan orang Melayu ketika ini?
MH: Saya boleh simpulkan sikit di sini, menang sorak kampung tergadai. Itulah yang bakal dan telah pun berlaku.
Bak kata orang tua-tua dulu, antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang.
Jadi kita sama kita berlaga, beras kita akan jatuh ke tanah daripada lesung kita. Bila beras dah jatuh ke tanah, kita jarang pungut, maka akan jadi bahan makanan ayamlah.
Maksudnya di sini bila Melayu sama Melayu berlaga, orang lainlah yang untung.
Melayu masih tak sedar, masih nak bertelagah sesama sendiri, masih lagi nak berselisih faham atas yang kecil-kecil, kita tak pandang gambar yang besar.
Orang Melayu ni berpolitik berasaskan kepada parti, orang bukan Melayu berpolitik atas dasar bangsa.
Kalau kita tengok kadang-kadang, kalau kita ‘usik’ masalah bahasa, masalah sekolah, parti komponen kita sendiri yang melenting, bukannya parti pembangkang.
Kita orang Melayu, politik kita…bangsa hanyut, agama, tanah air kita hanyut.
Cuba tengok sepanjang jalan, yang banyak bendera semuanya parti Melayu. Di situ jelas menunjukkan orang Melayu dah berpecah belah.  Amat menyedihkan – theRakyat.com



Comments