BIARPUN sudah bersara dari perkhidmatan perguruan sejak
empat tahun lalu, Radzuan Kamaruddin, 64, tidak pernah berhenti menjadi guru.
Radzuan anak jati Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilih,
berkata, kerjaya berkenaan bukanlah kerjaya yang dicita-citakannya, namun minat
terhadap bidang perguruan mula berkembang semasa mengikuti kursus perguruan di
Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1976.
Menurutnya, terpilih melanjutkan pengajian dalam Kelas
Ranjer di MPSI yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris
(Upsi) iaitu 30 calon guru lelaki yang akan bertugas di Sabah dan Sarawak
merupakan detik dia membina jati diri sebagai seorang pendidik.
“Dalam kelas ini, 15 calon guru akan bertugas di Sarawak
dan 15 lagi di Sabah.
"Jadi, sebaik tamat pengajian, saya ditugaskan
mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Abdullah di Semporna,
Sabah pada 1978.
“Masa tu, perjalanan dari Tawau ke Semporna sejauh 217km,
sangat mencabar melalui jalan balak sehinggakan saya beberapa kali terpaksa
menolak teksi jenis pacuan empat roda yang terbenam di dalam lumpur,” katanya
ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Tampin di sini,
semalam.
Radzuan yang juga Pengerusi Pawe Tampin berkata,
kesukaran itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya bergelar pendidik.
Menurutnya, apa yang dilaluinya tidak begitu 'sukar' jika
dibandingkan dengan guru pendidikan Islam atau ustaz dari semenanjung yang
terpaksa membina rumah mereka sendiri apabila di tempatkan jauh di kawasan
pendalaman.
“Ustaz ini bina rumah dari kayu beratapkan daun rembia.
Kehidupan mereka sangat daif berbanding saya yang tinggal di kuartes sekolah.
Radzuan (duduk, dua, kanan) bersama Ahli Pawe Tampin. |
“Bagaimanapun, kami tidak patah semangat pikul tugas
mendidik anak bangsa,” katanya.
Tiga hari lalui perintah berkurung
Seawal bertugas di Semporna, dia banyak melalui
pengalaman mendebarkan termasuklah selama tiga hari melalui perintah berkurung
di sekolah.
“Saya ingat lagi masa perintah berkurung tu, kami 15 guru
majoritinya guru dari semenanjung termasuk Guru Besar, PM John dari India duduk
bersama-sama di kuartes sekolah.
“Lokasi itu dikawal tentera dan polis sepanjang tempoh
perintah berkurung dijalankan.
"Masa tu ada orang kaya yang dalam perjalanan
menaiki bot bawa wang tunai yang banyak bagi membeli kenderaan diserang Munduk
(lanun laut).
Menurutnya, selama tiga hari mereka mendengar bunyi
tembakan dan akhirnya pasukan keselamatan berjaya menangkap sebahagian lanun.
“Selepas itu saya berpindah ke Sekolah Menengah
Kebangsaan St Anthony (M), Tenom. Saya
berkhidmat selama lima tahun di Sabah sebelum mengajar di Sekolah Menengah
Kebangsaan Undang Rembau pada 1983.
Guru bukan sekadar kerjaya
Radzuan berkata, pengalaman berkenaan sebahagian pahit, manisnya sepanjang 36 tahun
berkhidmat.
“Apa yang saya kesalkan ada mengikuti kursus perguruan
kerana tiada peluang kerja. Jadi mereka hanya jadikan tugas ini kerjaya sahaja
dan bukan kesungguhan," katanya.
Menurutnya, gaji pertama yang diperoleh RM287 sehingga
disahkan dalam jawatan selepas tiga tahun iaitu sebanyak RM310.
“Elaun kawasan semasa bertugas di Sabah sekitar RM80.
Kini dengan pelbagai kemudahan jauh lebih baik dari zaman saya dahulu,”
katanya.
Masih boleh berbakti
Dia menamatkan perkhidmatan dengan jawatan terakhir
sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran dengan memangku jawatan Pengetua
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang.
“Menariknya, sebagai sebahagian daripada Pawe, kami
individu yang bergelar warga emas dan mempunyai pelbagai latar belakang ini
sepakat anjur kelas tuisyen bagi calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Saya seru kepada mana-mana warga emas termasuklah pesara
guru di sekitar Tampin dan juga Rembau untuk sama-sama di Pawe merancang lebih
banyak aktiviti untuk masyarakat termasuklah mendidik golongan remaja,"
katanya.
Comments
Post a Comment