NILAI - Prof Dr Rozhan Mohammed
Idrus, Felow Penyelidik di Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), merupakan Profesor Pendidikan Jarak Jauh yang pertama di
Malaysia yang menerima penganugerahan Award For Excellence in e-learning dan
juga 50 Fabulous Edutech Leaders Award yang berlangsung pada 4 Julai 2019 di
Taj Lands End, Mumbai, India. Terlebih
dahulu, beliau telah menerima Award for Best Professor in Immersive Technology
Studies pada 24 April 2019 di Kuala Lumpur di dalam The 6th Golden Globe Tiger
Awards – Education Leadership.
Prof. Dr Rozhan, 60, menerima anugerah
tersebut atas pencapaiannya yang menyerlah di bidang Pendidikan Jarak Jauh dan
Pembelajaran Terbuka (Open & Distance Learning) sebagai seorang pakar rujuk
serta penyelidikan dan penghasilan karya penerbitan di peringkat antarabangsa.
Antara agensi antarabangsa yang pernah menerima khidmat pakar beliau termasuk
Commonwealth of Learning (COL), Islamic Educational, Scientific and Cultural
Organization (ISESCO), SEAMEO-RECSAM serta UNESCO.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini
memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Ilmu Sains Fizik dari
University of Salford, United Kingdom mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun
sebagai seorang pakar teknoologi e-pembelajaran, penganalisis, perunding,
pengendali dan pemudahcara bengkel dan telah membentangkan 52 ucaptama di 18
buah negara serta menerbitkan 192 penerbitan dalam jurnal antarabagsa yang
berindeks, buku dan bab di dalam buku panduan. Beliau juga
pernah menjadi Ketua Pengarang Penerbitan Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
(2001-2016).
Antara pencapaian beliau adalah
menerajui portal elektronik yang dibina sendiri oleh institusi (2003) dan
mempelopori penggunaan sms dalam pengajaran ilmu sains fizik (2008), meraih anugerah
dalam pembelajaran mudah alih semasa Sidang Kemuncak Pendidikan Dunia (2011),
e-INDIA Awards (2010) dan Pengiktirafan Inisiatif Pembelajaran Mudah Alih &
Pengajian Edutainment Panel (APACMLEAP) Asia Pasifik (2009), Anugerah Pingat
Emas dalam Inovasi dan Penciptaan dalam Pertandingan Pendidikan tahun 2016 di
Universiti Pendidikan Sultan Idris di Malaysia dan Anugerah Pingat Emas di 3rd
World Invention Innovation Contest 2017 di Seoul, Korea.
Beliau juga pernah menyandang gelaran
Higher Education e-Learning Maestro Award di 2nd International University
Carnival on eLearning (2017). Prof Rozhan juga telah memperkenalkan istilah
technogogy kepada dunia pendidikan pada tahun 2005, suatu konsep yang
menggabungkan jalinan unsur antara pelajar, bahan pengajaran, pedagogi dan
teknologi. Konsep tersebut telah diaplikasi di dalam kerangka
pembinaan bahan pengajaran berteraskan teknologi.
Menurut Prof Rozhan perkembangan
positif penggunaan e-learning terserlah melalui pelaksanaan Massive Open Online
Course (MOOC) dan Open Educational Resources (OER) dari institusi tempatan dan
antarabangsa yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menerokai bahan
pembelajaran seperti kuliah dan sumber pendidikan serta berinteraksi dengan
pelajar lain secara global.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
juga telah berjaya membangunkan MOOC untuk kursus-kursus terpilih yang
ditawarkan secara terbuka. USIM juga merupakan peserta secara aktif di dalam
pendidikan elektronik apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang tersenarai
di dalam Apple iTunesU pada tahun 2015.
Kaedah-kaedah siaran rangkaian elektronik sedemikian telah memudahkan warga
pendidik berkongsi kursus serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang
berteraskan Naqli dan Aqli yang menjadi tunggak falsafah ilmu yang didokong
oleh USIM.
Sumber : Pusat Komunikasi Strategik |
Strategic Communication Centre (StraComm)

Comments
Post a Comment