MELAKA - Bayi perempuan berusia 14 hari, Nur Annissa Zaki
yang menghidap holoprosencephaly atau otak di luar tempurung kepala meninggal
dunia petang tadi.
Ibunya, Norwati Saad, 35, berkata, Nur Annissa dikejarkan
ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 8 pagi selepas
mendapati dia mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam
3.50 petang tadi.
![]() |
Nur Annissa Zaki yang menghidap otak di luar tempurung
kepala meninggal dunia
di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, petang tadi.
"Malam tadi, Nur Annissa tidak menunjukkan tanda-tanda sakit tetapi pagi tadi saya terkejut mendapati nafasnya semakin laju dan terus bawanya ke hospital.
"Selepas diberi bantuan oksigen dan minum susu
melalui tiub, keadaannya masih sama sebelum doktor mengesahkan anak saya
meninggal dunia pukul 3.50 petang," katanya ketika dihubungi sebentar
tadi.
Norwati berkata, meskipun sedih dengan pemergian anak
bongsu daripada lima beradik itu, dia reda dengan ketentuan Ilahi.
"Kami reda dengan ketentuan ALLAH dan ingin
mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatan dan kesihatan
anak kami sejak dua minggu lalu.
"Jenazah akan dibawa pulang ke rumah kami di Kampung
Kuala Linggi, Alor Gajah sebelum dijangka dikebumikan malam ini selepas solat
Isyak," katanya.
Sinar Harian 9 Ogos lalu melaporkan luahan seorang ibu
yang melahirkan seorang bayi perempuan tiada tempurung kepala, selain turut
mengalami lelangit sumbing serta memiliki enam jari pada tangan kanan.
Norwati berkata, ketika usia kandungan tujuh bulan,
doktor menasihatinya untuk menggugurkan kandungan selepas laporan imbasan
ultrasound mendapati terdapat kecacatan di bahagian kepala anaknya selain
memaklumkan jangka hayat anaknya itu tidak lama.
Bagaimanapun Norwati dan suami, Zaki Rosly, 40, mengambil
keputusan untuk meneruskan kandungan dan berserah kepada ALLAH SWT.

Comments
Post a Comment