Dua kilang haram dipercayai punca pencemaran bau


SEREMBAN  - Pencemaran bau kimia di kawasan Taman Paroi Jaya, Taman Panchor Jaya dan Ampangan dekat sini sejak dua minggu lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti dua buah kilang yang beroperasi secara haram berhampiran kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, dua kilang haram yang beroperasi di Jalan Pantai-Jelebu itu adalah kilang kitar semula plastik dan kilang peleburan timah.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menerima banyak aduan pencemaran bau kimia di kawasan tersebut. Operasi bersepadu hari ini mendapati terdapat dua buah premis beroperasi secara haram di situ.
"Kilang pertama didapati menjalankan proses meleburkan timah menggunakan arang batu sebagai bahan api dan kilang kedua adalah kilang memproses plastik terpakai yang turut menghasilkan pencemaran udara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Veerapan memberitahu, semakan mendapati kilang peleburan timah itu tidak mempunyai lesen dan beroperasi di atas tanah berstatus pertanian, manakala kilang kitar semula plastik juga tidak memiliki lesen.
Menurut beliau, kedua-dua kilang itu dihentikan operasi mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 34A akta sama kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA).
Sementara itu, katanya, pemeriksaan ke atas sebuah kilang membuat lantai seramik di kawasan itu pula mendapati ia beroperasi tanpa alat kawalan udara bagi mengawal pencemaran yang dihasilkan.
Susulan itu, katanya, kilang terbabit diberi notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya memasang alat berkenaan. - UTUSAN ONLINE

Comments