JELEBU - Istiadat
Pertabalan dimulakan secara rasmi hari ini, sekali gus melengkapkan
pengisytiharan Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad,
sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Istiadat akan berlangsung selama lima hari, dimulakan
dengan istiadat bersiram di Telapak Kampung Kemin, dekat sini pagi ini, sebagai
simbolik membersihkan jasmani dan rohani Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang
baharu.
Usai bersiram, beliau kemudian berangkat diiringi Datuk
Lembaga Delapan, Buapak-Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris ke istiadat menyembelih
kerbau, sebagai sebahagian daripada adat istiadat Luak Jelebu.
Maarof, 62, dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som, 61,
kemudian dibawa menaiki kenderaan khas dan diarak bermula dari Kampung Kemin
mengelilingi Pekan Kuala Klawang hingga ke pintu gerbang Balai Undang Luak
Jelebu, sejauh kira-kira empat kilometer dan bertemu dengan penduduk sekitar.
Sebaik sampai di pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu,
Maarof dan Mahawa dibawa turun dari kenderaan khas dan diarak dengan berjalan
kaki ke Balai Undang Luak Jelebu sejauh 100 meter dan kedua-dua mereka telah
disambut dengan kumpulan Dikir Arak, persembahan tarian singa dan tarian
tradisi India.
Seterusnya, perarakan masuk kedua-dua mereka disambut
oleh perbarisan murid Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu di kiri kanan jalan
bermula daripada pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu hingga ke pintu utama
Balai Undang Luak Jelebu.
Majlis diteruskan dengan Istiadat Haluan Sembah Datuk
Lembaga Delapan, Buapak-Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris diketuai Datuk Menteri
Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zin pada pukul 11 pagi.
Maarof dalam ucapannya pada istiadat berkenaan melahirkan
rasa syukur atas pelantikannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dan berikrar
akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti
serta berpandukan al-Quran, Hadis dan panduan pesaka adat Luak Jelebu dan
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Istiadat Pertabalan itu, yang dihadiri kira-kira 500
penduduk Jelebu, diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
Istiadat pertabalan pada sebelah petang bermula dengan
menziarahi Makam Moyang Salleh iaitu Undang Luak Jelebu yang pertama, Makam
Undang Musa (Undang Luak Jelebu ke-15) di Kampung Peradong, Makam Undang Syed
Ali Al-Jufri (Undang Luak Jelebu ke-11) dan Undang Abu Bakar (Undang Luak
Jelebu ke-14) di Chenor serta Makam Undang Abu Bakar (Undang Luak Jelebu ke-12)
di Bandar Tinggi, di sini.
Ia bertujuan untuk mengadakan majlis tahlil serta
menzahirkan penghormatan kepada ke semua Undang Luak Jelebu yang terdahulu.
Pelbagai acara akan diadakan sempena Istiadat Pertabalan
seperti persembahan kebudayaan, pertandingan masakan tradisional, pertandingan
lancang, pertandingan kecantikan dan kesenian ayam serama, karnival sukan
rakyat, perlawanan bola sepak persahabatan, santapan diraja serta jamuan
rakyat.
Istiadat Pertabalan itu akan diakhiri dengan istiadat
menurunkan alat kebesaran pada 25 Ogos.
Maarof yang dilahirkan pada 21 Ogos 1957 dan merupakan
anak kelima daripada enam adik beradik, adalah bekas guru dan Pegawai
Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Jelebu.
Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Raja
Melewar, Seremban dan Open University Malaysia.
Maarof diisytihar sebagai penyandang pesaka Datuk Mendika
Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu ke-16 dalam kerapatan di Telapak
Kampung Kemin, Kuala Klawang di sini pada 26 Jun 2018, dan disaksikan oleh
Datuk-Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu, Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris.
Pengisytiharan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16
disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 18 Feb lepas dan
pada 4 April lepas, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni
Almarhum Tuanku Munawir menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang
Luak Jelebu ke-16, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Maarof menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa
Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 Sept 2014.
Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan,
institusi Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu,
Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai
fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan masing-masing. - BERNAMA
Comments
Post a Comment