SEREMBAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri
Seremban di sini melakar sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan
daripada Malaysia Book of Records (MBOR) untuk kejayaan penyertaan paling ramai
membaca bahan berunsur patriotik secara bergilir-gilir, baru-baru ini.
Rekod ini tercipta pada 24 Julai lalu namun pengiktirafan
pencapaian tersebut telah diumumkan secara rasmi oleh Pengarah Pembangunan
Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow Hooi baru-baru ini.
Majlis menandatangani sijil pengiktirafan MBOR itu
disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian,
Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek.
Pengetua SMK Puteri, Saadiah Saad berkata, jumlah peserta
yang mengambil bahagian ialah sebanyak 770 orang terdiri daripada murid,
pelajar dan guru SMK Puteri serta beberapa sekolah sekitar Seremban iaitu
Sekolah Rendah Islam Seremban, Sekolah Menengah Islam Seremban, SMK King George
V dan SMK Dato’ Shamsuddin Nain.
"Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip
Talib dipilih sebagai bahan bacaan untuk rekod tersebut. Ia mengandungi 358
muka surat dan dibahagikan kepada beberapa perenggan untuk dibaca oleh setiap
peserta secara bergilir-gilir sehingga tamat.
"Pembacaan novel itu bermula pukul 7 pagi dan tamat
pada pukul 3.40 petang. Pemilihan novel bertemakan sejarah ini selain memupuk
budaya membaca juga diharap dapat menyemarakkan semangat cinta akan negara
dalam kalangan murid seterusnya menghargai perjuangan tokoh-tokoh
terdahulu," katanya ketika ditemui di sini.
Yang turut hadir, wakil daripada Jabatan Pendidikan
Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah serta Pengarah Perbadanan
Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Jamilah Katis.
Menurut Saadiah, cetusan idea untuk melakar nama dalam
MBOR adalah satu cabaran kepada warga SMK Puteri kerana rantaian bacaan sebuah
novel ini merupakan rekod yang pertama dicipta di Malaysia.
Katanya, rekod ini diharapkan menjadi perangsang kepada
warga SMK Puteri untuk terus cemerlang selaras dengan identitinya sebagai Sekolah
Kluster Kecemerlangan. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment