Kerjasama UMNO-Pas bertahan lama


REMBAU - UMNO menyangkal dakwaan bahawa kerjasama antara parti itu dengan Pas tidak akan bertahan lama sama seperti yang pernah berlaku apabila parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama yang hendak dilakukan kali ini adalah berasaskan kepada agama dan mempertahankan kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, penyertaan Pas dalam BN pada 1973 tidak mampu bertahan lama kerana ia dilakukan atas asas politik sepenuhnya dan langkah itu tidak difahami oleh ahli di peringkat akar umbi.
"Ia adalah persefahaman antara dua pemimpin iaitu Tun Razak dan Datuk Asri Muda tetapi tidak sampai ke peringkat bawahan hingga menimbulkan kesukaran kepada kedua-dua pihak.
"Penyatuan itu akhirnya terlerai apabila kedua-dua pemimpin itu sudah tiada," katanya kepada para pemberita selepas Jelajah Ceramah Umum sempena Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri di Rantau dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.
Pas yang ditubuhkan pada 1955 pernah menyertai BN pada 1973 tetapi keluar dari gabungan itu pada 1978.
Bagi menjayakan kerjasama kali ini, Mohamad berkata, kedua-dua parti itu sedang melaksanakan kempen penerangan di semua peringkat bagi membolehkan ahli faham dan jelas mengenai rancangan yang hendak dilaksanakan.
"Saya sendiri turun padang bermula di negeri ini memberi penerangan kepada ahli mengenai asas penyatuan dan kerjasama yang hendak dijayakan.
"Ini penting terutamanya bagi membolehkan pemimpin pelapis meneruskan agenda yang telah dirancang apabila kami tiada kelak," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, tema `penyatuan ummah' yang diguna pakai ketika ini akan diubah kepada nama lain bagi menggambarkan penyertaan secara inklusif oleh semua kaum di negara ini.
"Ada orang kata `ummah' hanya untuk orang Islam sedangkan ia hanya perkataan Arab untuk umat atau masyarakat. Kita ambil maklum pertikaian ini dan akan tukar tema itu adalam fasa kedua kelak," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments