SEREMBAN:
Peniaga makanan di bazar Ramadan di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak
mengenakan harga terlalu mahal atau mengaut keuntungan berlebihan sehingga
membebankan pengguna.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Faizah Othman berkata
walaupun harga makanan di bazar Ramadan tidak dikawal secara langsung kerana
tidak termasuk dalam kategori harga kawalan, pihaknya tetap komited memastikan
pengguna memperoleh harga yang berpatutan.
Beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan secara
berterusan di semua bazar Ramadan dan premis jualan bagi memastikan peniaga
mematuhi peraturan serta perundangan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan
berlakunya elemen pencatutan.
“Sekiranya terdapat aduan mengenai peniaga yang
mengenakan harga terlalu mahal, notis akan dikeluarkan untuk mendapatkan
maklumat awal sebelum pemeriksaan dan analisis lanjut dijalankan.
“Penilaian juga akan dibuat terhadap kapasiti
keuntungan yang diperoleh bagi menentukan sama ada berlaku pencatutan atau
sebaliknya.
“Penentuan kes pencatutan dibuat berdasarkan
formula khusus dan tindakan mengambil keuntungan tidak munasabah merupakan satu
kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Faizah berkata pihaknya
telah melaksanakan Op Pantau bermula 19 Februari hingga semalam dengan 345
premis diperiksa.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 premis didapati
melakukan kesalahan di bawah akta sama membabitkan kompaun keseluruhan
berjumlah RM1,400.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak
meletakkan tanda harga, menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum,
memiliki barangan tanpa lesen serta menggunakan atau memiliki alat timbang atau
sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya.

Comments
Post a Comment