Masjid Kariah Sungai Pah yang
berusia 45 tahun kini berwajah baharu dengan limpahan cahaya berwarna-warni
yang mengubah landskap malam di Kampung Peradong Pergai
Transformasi luar biasa hasil
projek pencahayaan ikonik itu digerakkan secara berperingkat sejak awal Ramadan
tahun lalu.
Menerusi laporan Harian Metro,
Pengerusi Masjid, Romizi Ariffin menyatakan bahawa hasil muafakat dan infaq
penduduk setempat, hampir RM6,000 telah dibelanjakan untuk menghias rumah Allah
tersebut dengan lampu LED pelbagai warna termasuk pada bahagian kubah utama.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut dilaksanakan bagi memastikan
persekitaran masjid tidak lagi berada dalam keadaan gelap dan sunyi pada waktu
malam.
"Kita mahu masjid terang benderang supaya ada pencahayaan yang sesuai
termasuk sekiranya ada musafir yang ingin singgah menunaikan solat.
"Inisiatif ini juga bertujuan mencantikkan masjid sehingga idea ini mula
mendapat perhatian serta rujukan daripada pengurusan masjid lain untuk
dilaksanakan di tempat mereka," katanya.
Masjid bakal dimeriahkan dengan
konsep pencahayaan seperti I-City secara berperingkat pada masa hadapan
Romizi menyatakan bahawa usaha
kreatif pihak pengurusan masjid tersebut mendapat pujian daripada Pejabat Agama
Islam Daerah (PAID) Jelebu yang menyifatkannya sebagai anjakan positif dalam
mengimarahkan masjid.
Beliau turut menyasarkan untuk memeriahkan lagi persekitaran masjid dengan
konsep pencahayaan menyerupai I-City, Shah Alam secara berperingkat pada masa
hadapan.
"Bagi memudahkan pengurusan, lampu LED yang digunakan dipasang dengan
sistem automatik yang akan menyala pada jam 7 malam dan terpadam pada jam 7
pagi setiap hari.
"Segala-galanya adalah hasil komitmen dan infaq berterusan penduduk
setempat. Mereka banyak membantu dalam menjayakan hasrat murni mencantikkan
rumah Allah ini," katanya.

Comments
Post a Comment