“MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF,
MENGIMBANG KEUNGGULAN DUNIAWI DAN UKHRAWI,
DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT,
MENUJU ASPIRASI TN50”
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang
bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang
Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
Bismillah-Hir-Rahma-Nir-Rahim
1.
Sesungguhnya Kami Bernaik Saksi Bahawa, Tiada Tuhan yang Selayaknya
Disembah Melainkan Allah yakni Dia, serta para MalaikatNya, yang berSelawat ke
atas Nabi Junjungan. Seraya,… diseru ke atas orang-orang yang beriman
mengucapkan; Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina
Muhammad.
2. Begitu
juga kepada Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan
Puan-Puan serta seluruh Rakyat Malaysia Sekalian, dari penjuru Utara Perlis,
hingga ke Penghujung Benua Asia di Tanjung Piai, membawa nun jauh di Sabah,
Negeri di Bawah Bayu dan di Sarawak, Bumi Kenyalang, diucapkan Salam Sejahtera,… Salam Negaraku,…
dan Salam 1Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
3.
Pastinya pada tahun lalu, kita maklum tentang ramai yang telah
meneka-neka bahawa,… Bajet 2017 itu adalah Bajet Pilihanraya.
4.
Memanglah,… tidak dinafikan,… kerana sekian banyak inisiatif dan sekian
banyak peruntukan, telah diumumkan demi keperluan rakyat serta kepentingan
negara. Namun nampaknya,… ramalan itu setakat tahun lepas,… menjadi hampa dan
tidak benar belaka.
5.
Lalunya,… Tuan Yang Dipertua, kalau minggu lalu, kawan-kawan daripada
masyarakat India baru saja menyambut perayaan cahaya Deepavali,… kita ucapkan
sekali lagi bersama-sama Deepavali Val-thu-kal,…
Maka,… pada Jumaat penghulu segala hari ini, seperti para
cerdik pandai juga menyatakan boleh disambut sebagai Hari Lebaran yang riang
dan ceria.
6.
Jadinya,… saya mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama untuk
merayakan imbuhan-imbuhan, buah-buah tangan dan pemberian-pemberian yang akan
dibentang-bentang dan dihidang-hidang sepanjang persembahan Bajet ini. Dengan
satu syarat,…
Syaratnya apa?… aaa… syaratnya, saya nak khabor pada
semua,… bak kata orang tempat saya di Pekan,… maaf cakaplah, kalau boleh,
moleklah mendengor,… bukannya berdengkor,… dari mula, sampeilah ke penghujung
ucapan.
7. Maksud
saya,… berdiri saya pada petang Jumaat yang mulia bertarikh 27 Oktober ini,
bersamaan dengan 7 haribulan Safar 1439 Hijriah, adalah, tidak lain dan tidak
bukan, untuk membawa khabar-khabar yang lebih riang dan gembira, yang bakal
menguntum serta menyimpul senyum-senyuman di wajah semua.
8. Yang
ter-paling mustahak adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia
tercinta, tidak kira apa jua kaum,… apa jua bangsa,… dan apa jua latar
keturunan.
9. Tuan
Yang Dipertua, ternyata, yang ditunggu-tunggu, buahnya pun baru saja masak dan
baru saja meranum,… hatta, kalau tidak dipetik pun pada petang yang berbahagia
ini, ia akan tetap gugur, dan akan tetap luruh, satu persatu, sebagai
sebahagian rezeki yang dilimpahi rendang dan merimbunnya Pepohon Malaysia.
10. Jadinya,
marilah kita sama-sama menghayati dan meneliti dahulu,… apa yang akan saya,
bagi pihak Kerajaan ingin sajikan, jika tidak,… bagi mereka yang terburu-buru,
sebagai memetik kata ulamak dan cerdik pandai,… sesungguhnya tergolonglah dalam
kumpulan orang-orang yang merugi.
Tuan Yang Dipertua,
11. Sayang
seribu kali sayang,… dalam pada kita ingin membina peradaban santun susila di
antara satu sama lain, sampai hati,… dan,… tergamak sungguh ‘Orang Itu’
memaki,… mencerca,… etnik bangsa dari keturunan Bugis.
Tapi,… tak mengapalah,… apa yang penting,… kita wajar
terus Berjiwa Besar, bak kata seloka dalam loghat Utara:
Orang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah,
Cuma, sorang dua sajaa, yang mudah lupa diri,
Kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah,
Ni dia Bajet yang kita semua dok nanti-nanti.
PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI
Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia sekalian,
12.
Pertama-tamanya, kita wajib merafakkan rasa syukur setinggi-tingginya ke
hadrat Allah S.W.T kerana ekonomi negara terus berkembang dengan PO-SI-TIF.
13. Pada
separuh tahun pertama 2017, ia mencatatkan satu pertumbuhan yang sungguh
memberangsangkan pada kadar 5.7 peratus.
14. Makanya,
janganlah mudah termakan dengan tipu daya serta dakyah yang tidak henti-henti
terutamanya di media sosial,… oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab
bahawa kononnya,… Bank Dunia telah mengeluarkan laporan-laporan negatif tertentu
terhadap ekonomi negara kita.
15.
Hakikatnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali,… kerana
realitinya baru saja tiga minggu lepas, pihak Bank Dunia telah membuat semakan
yang lazim, merangkumi Asia Timur dan Pasifik.
16. Hasil
daripada semakan itu,… sekali lagi,… yang ter-paling mustahak,… Badan Kewangan
Antarabangsa Tertinggi dunia itu telah menzahirkan keyakinan terhadap prestasi
ekonomi kita, dengan memberi puji-pujian kepada dasar-dasar negara, seraya
menaikkan unjuran KDNK Malaysia,… daripada 4.9 kepada 5.2 peratus bagi tahun
2017. Ada bersama kita hadirin sekalian, pada petang ini, beberapa wakil
daripada Bank Negara Malaysia dan World Bank.
17.
Selanjutnya, Kerajaan pula mengunjurkan ekonomi Malaysia bakal mencapai
kadar pertumbuhan tahunan antara 5.2 hingga 5.7 peratus pada 2017, yakni lebih
tinggi daripada unjuran pada bulan Mac lalu iaitu 4.3 hingga 4.8 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
18.
Sesungguhnya lagi, selama 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pada
Bajet yang ke-59 dan kali ke-9 saya bentangkan bagi pihak Kerajaan ini, dengan
penuh rasa syukur serta tawadhuk, ingin dinyatakan bahawa, sepanjang tempoh
lapan tahun yang lalu, di sebalik pelbagai kerencaman dan cabaran ekonomi,…
Malaysia telah mampu membuktikan, dua aspek yang amat penting dan dapatlah
disimpulkan sebagai:
Pertamanya: Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang
dan diplomasi pada tahap pa-ling baik dan pa-ling matang dalam lingkungan masa
serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab
Saudi dan Amerika Syarikat.
Sesungguhnya, tidak pernah seumpamanya seperti ini dalam
sejarah, sehinggakan the actual private investment untuk 2016 sahaja, melebihi
211 bilion ringgit. Dibandingkan pada tahun 2009, jumlah pelaburan swasta
sebenar hanyalah 81 bilion ringgit.
Oleh sebab itu,… seandainya saya dan rakan-rakan anggota
kabinet mengadakan lawatan rasmi ke luar negara,… janganlah sewenang-wenangnya
sesiapa pun menuduh bahawa, kita hendak menggadaikan kedaulatan Tanah Air.
Hah…!!! Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita,…
katanya,… YAB Menteri Besar Selangor, merangkap Ahli Parlimen Gombak sendiri,
telah pun berkunjung ke Tanah Besar China. Kita nak tanya,… YB Gombak,… Nak
jual Selangor ke?
Demikianlah kata orang,… Berhati-hatilah kalau mahu
meludah ke langit, takut-takut nanti,… ia jatuh setepek,… terpalit ke muka
sendiri.
Tuan Yang Dipertua,
Itu belum lagi dikira lawatan-lawatan ke luar negara yang
dibuat oleh YB Bagan, juga YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Itupun kira macam
mana,… kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke..?
Keduanya: Tuan
Yang Dipertua, sejak tahun 2009, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang
kebanyakannya di luar kawalan kita, seperti harga minyak dunia yang jatuh
merudum, faktor geopolitik antarabangsa yang bergolak dan masih tidak menentu,
akan tetapi,… Alhamdulillah, kita terus kekal mampu menguruskan kewangan
negara, dengan mengamalkan tadbir urus yang cekap serta disiplin fiskal yang
begitu berhemah.
Menoleh ke tahun 2009, defisit fiskal kita berada pada
kadar 6.7 peratus daripada KDNK. Dengan perancangan dan perencanaan serta
inisiatif yang teratur lagi sistematik, syukur kepada Allah S.W.T., defisit
fiskal negara dianggar terus berkurang kepada 3 peratus pada 2017, dan kita
yakin pada tahun 2018 akan menurun lagi kepada 2.8 peratus.
Impaknya sungguh jelas,… baru-baru ini, tiga agensi
penarafan kredit antarabangsa yang berwibawa, telah mengekalkan kredit Malaysia
pada penarafan ‘A-’ dengan prospek yang stabil.
Bayangkan,… bayangkanlah,… seandainya Kerajaan ini, tidak
mengambil langkah-langkah bijak lagi proaktif untuk menguruskan perbelanjaan
negara, terutamanya ketika harga minyak dunia jatuh mendadak, paras defisit
fiskal dan hutang akan meningkat sekaligus menjejaskan penarafan kredit negara,
kemungkinan besar kita boleh terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi.
Sekiranya itu berlaku, ia boleh mengakibatkan kenaikan
kos pinjaman peribadi dan komersial, keyakinan pelabur pun terjejas, serta
mengundang ketidakstabilan pasaran kewangan.
Tuan Yang Dipertua,
19. Makanya,
bagai disyair orang dulu-dulu, kalau buruk yang kita minta, maka buruklah
jadinya; kerana itu,… kalau elok kita usaha dan minta, maka moleklah hasilnya.
20. Justeru,…
walau sekali apa pun cabaran, halangan dan pancaroba yang datang merintang,
kita perlu terus mengekalkan momentum dan dinamika kepesatan ekonomi negara.
21. Kerana
itulah, pegangan pentadbiran Kerajaan ini sejak mula-mula saya mengambil alih
tampuk kepimpinan, telah diperkenalkan Program Transformasi Negara yang
inklusif, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, yang amat
menitikberatkan tentang aspek kualiti, sistem penyampaian perkhidmatan yang
berkesan, khususnya, dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.
22. Di bawah
DTN ini juga, terkandung antara lain, Model Ekonomi Baru, yang selaras dengan
Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11.
Tuan yang Dipertua,
23. Maka,
tidak salah lagi sejak 2009, ketika mana melihatkan keadaan sosioekonomi negara
ketika itu, saya selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan yang amat
sukar, dengan meletakkan inisiatif ekonomi sebagai Fokus Utama kepada Kerajaan
yang saya pimpini, sehinggakan agenda dan program Transformasi yang lain
disusunatur menurut keutamaan dan dikemudiankan dahulu, termasuklah Program
Transformasi Politik.
24. Justeru,
mana mungkin orang mempertikai bahawa kita tidak mempunyai polisi ekonomi yang
kukuh? Ternyata, kesemua usaha yang telah diambil oleh Kerajaan sepanjang lapan
tahun yang lalu, telah membuahkan hasil-hasil, antaranya:
Pertama: Sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu
menjelang 2020 setakat ini, sudahpun mencapai angka 69 peratus dengan 2.26 juta pekerjaan diwujudkan;
Kedua: Pada bulan Ogos ini sahaja, eksport negara buat
pertama kalinya telah mencapai antara paras tertinggi, dengan nilaian melebihi
80 bilion ringgit, dan merekodkan double digit growth; dan
Ketiga: Rizab antarabangsa terkini pula, telah mencatat
101.4 bilion dolar Amerika atau 428.7 bilion ringgit yang mampu menampung 7.5
bulan import tertangguh. Sedangkan pada tahun 1997, ketika berlakunya kegawatan
ekonomi Asia, rizab negara hanyalah 21.7 bilion dolar Amerika atau bersamaan
59.1 bilion ringgit,…
Nah,… kalau rizab serendah 21.7 bilion dolar Amerika pun
tidak bankrap, Itu pun, kita belum tolak 31 bilion ringgit yang entah ke mana….
apatah lagi rizab sekarang setinggi 101.4 bilion dolar Amerika.
Tuan Yang Dipertua,
25. Bukan
setakat itu sahaja, melalui Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan
Keperluan Asas 2016, menyaksikan, kita telah meraih sekian banyak pencapaian,
antaranya:
Pertama: Pendapatan per kapita rakyat daripada 27,819
ringgit pada tahun 2010, kini telah meningkat kepada 40,713 ringgit, dan
dijangka mencapai 42,777 ringgit menjelang 2018;
Kedua: Pendapatan median bulanan pula, telah meningkat
daripada 4,585 ringgit, pada tahun 2014 kepada 5,288 ringgit pada tahun 2016;
Ketiga: Bagi pendapatan isi rumah B40 pula, daripada
tempoh 2014 hingga 2016, telah meningkat daripada 2,629 ringgit kepada 3,000
ringgit sebulan; dan
Keempat: Agihan pendapatan dalam kalangan isi rumah
Malaysia terus bertambah baik dengan penurunan Pekali Gini daripada 0.441 pada tahun 2009, kepada 0.399
pada tahun 2016, the lowest in the history of Malaysia. Ini bermakna jurang
pendapatan semakin dirapatkan, dan kita menuju masyarakat yang pengagihannya
lebih saksama.
PERUNTUKAN BAJET 2018
Tuan Yang Dipertua,
26. Demi
kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka Bajet 2018 akan memperuntukkan
sejumlah 280.25 bilion ringgit, menyaksikan pertambahan peruntukan, berbanding
260.8 bilion ringgit peruntukan Bajet 2017 yang dibentangkan.
27. Daripada
jumlah tersebut, 234.25 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus, dan
46 bilion ringgit lagi bagi perbelanjaan pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan
luar jangka 2 bilion ringgit.
28. Di bawah
peruntukan mengurus, 79.15 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 33.62
bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan.
29. Manakala,
sebanyak 119.82 bilion ringgit lagi, adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran
Tetap. Perbelanjaan lain pula, diperuntukkan 1.08 bilion ringgit, dan 577 juta
ringgit untuk pembelian aset.
30. Di bawah
peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 26.34
bilion ringgit. Sektor sosial menerima sejumlah 11.72 bilion ringgit. Manakala,
sektor keselamatan diperuntukkan 5.22 bilion ringgit, dan sektor pentadbiran am
sebanyak 2.72 bilion ringgit.
31. Bagi tahun
2018, dengan izin Allah, kita menjangkakan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan
mencecah 239.86 bilion ringgit.
32. Apa yang
penting, Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal
dan mempastikan kedudukan kewangan Kerajaan terus kukuh serta paras hutang
kekal rendah bagi tempoh jangka sederhana dan panjang.
Tuan Yang Dipertua,
33. Pastinya
semua dapat mengagak, bajet yang digubal ini adalah yang paling penting kerana,
ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa yang telah memacu ekonomi
negara semenjak saya menjadi Perdana Menteri sebermulanya tahun 2009.
34. Ia
sebetulnya juga, menjadi antara report card utama kepada rakyat dan Kerajaan
pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran Kerajaan ini.
35. Bahkan, ia
disusun sebagai satu dokumen pelonjak kepada pembikinan sebuah negara Bangsa
Malaysia untuk tempoh 30 tahun mendatang yang akan dicorakkan semula di atas
kanvas yang lebih baharu berasaskan KERANGKA MAQASID SYARIAH.
36. Dalam
memperkatakan hal ini, sesungguhnya secara sedar atau tidak, sejak meraih
kemerdekaan, kita begitu bertuah kerana bapa-bapa pendahulu telah menyulam
manik-manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan pemeliharaan 5 aspek,
yakni Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta di dalam setiap dasar dan setiap
perancangan Kerajaan.
37. Kerangka
Maqasid Syariah ini, dengan jelas difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah
Al-Mum-ta-ha-nah ayat ke-12 yang mafhumnya menyebut, tentang kepentingan
menjaga kemaslahatan Ad-Dho’-ru-riyat yakni, keperluan asas yang paling utama,
sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya, untuk kita, atau rakyat, meneruskan
hidup.
38. Manakala
menerusi pengertian Surah Al-Hajj dan Hadis antaranya riwayat Ahmad,…
Haa-Ji-Yat pula, berkaitan perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memberi
kemudahan kepada mereka supaya tidak berlaku kesempitan yang membawa kepada
kesulitan dan kesukaran hidup serta,…
Ketiganya, keperluan kepada Tah-si-niyat hanyalah sekadar
menjadi penghias, pencantik dan bersifat pengindah semata-mata, untuk
kesempurnaan hidup.
39. Makanya,…
semenjak enam dekad lalu, segala usaha pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional
secara lumrahnya diilhamkan oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui kepada
pimpinan-pimpinan negara,… agar sentiasa ‘terpandu’ dengan kerangka Maqasid
Syariah ini, dan dari masa hingga masa,…
Diperkuatkan lagi oleh falsafah-falsafah seperti
Perlembagaan Persekutuan, Ideologi Kebangsaan Rukun Negara, prinsip Wasatiyah
atau moderation, Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,
dan terkini, aspirasi TN50 sebagai kesinambungan gagasan-gagasan pucuk
kepimpinan Kerajaan, zaman-berzaman, yang sekaligus menolak fahaman
ekstremisme, tidak berfikiran terlalu liberal, apatah lagi mengamalkan sistem
ala-Taliban State.
40. Jadinya,
dari masa ke semasa, kepimpinan yang silih berganti ini, telah menyusun segala
dasar dan strategi negara berlandaskan roh serta semangat kerangka dan pedoman
Maqasid Syariah.
Tuan Yang Dipertua,
41. Memang
benar, sekalipun kerangka Maqasid ini tidak tertulis atau termaktub secara
rasmi dalam mana-mana dokumen Kerajaan, akan tetapi secara berhemah, amalan dan
praktis-nya terzahir menerusi sekian-sekian falsafah dan sekian-sekian dasar
negara, yang bersambung-sambung dan bertali-temali.
42. Sebenarnya
lagi, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan mensasarkan kepada
kepentingan umum, yang mendatangi kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan
mengambil kira tahap kemampuan Kerajaan mengikut tiga keutamaan, iaitu Dho’-ru-riyat,
Haa-Ji-Yat dan Tah-si-niyat, seperti yang saya sebutkan tadi.
43. Jadinya,
terbuktilah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang sudah menempa satu
tempoh panjang yang sarat menggendong-gendong bersamanya, begitu banyak selok
belok pengalaman, mahupun pengetahuan sepanjang 60 tahun, telah menjadi asas
kepada Evolusi Pembangunan serta pembikinan jatidiri sebuah negara bangsa yang
boleh diperbanggakan.
44. Makanya,
berbekalkan semua prinsip dan garis-garis besar haluan bernegara itu, pada
petang yang berbahagia ini, dengan Kehendak dan Kurnia Allah Yang Maha Kaya,
saya membingkiskan sebuah lagi Dokumen Besar demi kesejahteraan rakyat dan
kemakmuran negara, yakni Bajet 2018.
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari,
45. Bajet 2018
digubal selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-11, dan ini merupakan
Bajet yang ketiga di bawahnya. Lalu, untuk mempastikan kemakmuran dan kekayaan
negara dapat dinikmati secara saksama dan inklusif, melalui pertumbuhan ekonomi
domestik yang kukuh serta berdaya saing, dengan izin Allah terhasil-lah Bajet
ini dengan bertemakan “MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF, MENGIMBANG KEUNGGULAN
DUNIAWI DAN UKHRAWI DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT, MENUJU ASPIRASI TN50”
berasaskan kepada Lapan Pe-Tunjang.
Tuan Yang Dipertua,
46. PE-TUNJANG
PERTAMA BAJET 2018 ADALAH MERANCAK PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI. Jumlah
pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7 peratus atau menyumbang 25.5
peratus kepada KDNK pada tahun 2018.
47. Dalam hal
ini, Kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak tinggi, seperti
petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik, serta industri berasaskan
eksport.
48. Sumbangan
pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan nisbah 70:30. Pelaburan
swasta dijangka mencecah 260 bilion ringgit pada 2018.
49. Manakala
pelaburan sektor awam dijangka mencecah 109 bilion ringgit, berbanding hanya 75
bilion ringgit pada 2009. Ini sejajar matlamat ETP untuk menjadikan sektor
swasta sebagai engine of growth.
50. Ini
termasuk, satu bilion ringgit kepada Lima Koridor Utama. Kerajaan akan
membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan Proton City, Educity
dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam; pembinaan
pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke
Empangan Baleh, Sarawak.
51. Serentak
itu, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing,
galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik
berimpak tinggi.
52. Malaysia
komited untuk perkongsian maklumat ekonomi yang diperkenalkan oleh OECD. Ini
termasuklah menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Base Erosion And Profit
Shifting serta Pertukaran Maklumat Secara Automatik mulai September 2018.
Tuan Yang Dipertua,
53.
Pembangunan Malaysia akan dilaksanakan melalui penglibatan inklusif PKS.
Buat masa ini, di Malaysia, kita ada antaranya, perusahaan Jeruk Pak Ali,
Sydney Cake House, Telekung Siti Khadijah dan Satay Haji Samuri, yang telah
bertapak kukuh dengan jenama sendiri, malah ada yang telah menembusi pasaran
antarabangsa.
54.
Wakil-wakil PKS yang kita banggakan, turut memeriahkan Pembentangan
Bajet ini. Ucapkan selamat datang kepada
mereka ke Dewan Parlimen, serta marilah kita beri tepukan tahniah kepada
kejayaan mereka!
55. Sehubungan
itu, Tuan Yang Dipertua, Bajet ini
mensasarkan supaya syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus
kepada KDNK menjelang tahun 2020, melalui langkah berikut:
Pertama: Tujuh bilion ringgit di bawah Skim Jaminan
Pembiayaan Perniagaan atau SJPP, iaitu lima bilion ringgit untuk modal kerja
dan dua bilion ringgit, pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan untuk
sektor perkhidmatan termasuk Industrial Revolution 4.0;
Kedua: Dalam
komitmen Kerajaan untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan
peng-gajian pekerja asing, satu jumlah besar diberi buat julung kalinya,
sebanyak satu bilion ringgit, dengan pinjaman 70 peratus jaminan Kerajaan di
bawah SJPP;
Ketiga: Saiz
Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah ditambah 1 bilion ringgit, menjadikan
saiz dana 2.5 bilion ringgit. Kemudahan ini diberi subsidi dua peratus ke atas
kadar keuntungannya;
Keempat: Sejumlah 200 juta ringgit bagi program latihan,
geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; dan
Kelima: Hampir
82 juta ringgit bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.
56. Bukan itu
sahaja, Kerajaan tidak melupakan usahawan-usahawan mikro, seperti peniaga
coconut shake di Klebang, Melaka yang popular itu.
57. Seiring
ini juga, sukacita saya memperuntukkan Bajet paling tinggi pernah diberi kepada
TEKUN, iaitu setengah bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
58.
Selanjutnya, bagi menghargai sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM
yang majoritinya wanita serta merupakan pembayar balik hutang paling
berdisiplin,… bagi mereka terus berusaha gigih, mengubah nasib dan memajukan
diri serta keluarga masing-masing,…
Maka,… bagi Bajet ini, apalah salahnya kita
tambah-tambahkan lagi dana AIM, sebanyak 200 juta ringgit.
Ini menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah
2.7 bilion ringgit, memanfaatkan hampir 400 ribu peminjam.
Lagipun, telah tercipta pelbagai kisah kejayaan di
kalangan peminjam.
Tuan Yang Dipertua,
59. Menyentuh
hal ini,… kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan
seorang insan bernama Wan Azizah,… atau lebih dikenali dengan nama Kak Wan,…
dalam menempuh liku-liku hidup beliau yang begitu mencabar….. namun, berkat
kesabaran,… Kak Wan terus cekal berjuang,….
Nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita pada hari ini,…
Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada
Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana,… contoh Sahabat AIM
yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan pemprosesan ayam,
dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit daripada AIM sejak 1993.
60.
Selanjutnya, 80 juta ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi
Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME, bagi menyediakan kemudahan pembiayaan
kepada usahawan Bumiputera luar bandar.
61. Eksport
negara pula, akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai
tinggi menerusi langkah berikut:
Pertama: 150
juta ringgit kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan
peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant;
Kedua: Satu
bilion ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan
insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada
pengeksport PKS; dan
Ketiga: 100
juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan
bagi meng-automasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.
62. Tuan Yang
Dipertua, para pesawah,… para petani,… para pekebun kecil,… para nelayan,… para
penternak,… serta mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor
pertanian. Sesungguhnya, tuan-tuan dan puan-puan lah antara kelompok masyarakat
yang sangat dekat di hati saya dan Kerajaan.
63. Justeru,
buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan penuh prihatin
mengumumkan, peruntukan pa-ling besar kepada kelompok pesawah, petani,
peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan penoreh getah sebanyak 6.5
bilion ringgit, antaranya:
Pertama: 2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif
seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan
nelayan;
Kedua: Hampir
500 juta ringgit bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan
pertanian dan menaik taraf jalan ladang;
Ketiga: Hampir
200 juta ringgit bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan
infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex berbanding cup lump, sekali
gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil;
Keempat: Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan
dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi;
Kelima: Dalam
memperkasakan sektor pertanian, 200 juta ringgit disediakan bagi inisiatif
Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa,
durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga
Tenusu dan Ruminan.
Contohnya, di Hong Kong, harga durian Mawsang King
dikhabarkan telah mencecah lapan ratus ringgit sebiji.
Keenam: Buat
pertama kalinya, skim khas, untuk program peningkatan pengeluaran kelapa
melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan
MATAG akan diperkenalkan dengan peruntukan 50 juta ringgit, memanfaatkan 10
ribu pekebun kecil.
Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu
lembaga baru bersama-sama industri nenas dan buah-buahan; dan
Ketujuh: Selain
penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, pada Bajet kali
ini, buat pertama kalinya, saya juga ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200
ringgit sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi,
dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi.
Tuan Yang Dipertua,
64. Ternyata,
kini sektor pelancongan merupakan antara penjana pendapatan utama kepada
ekonomi negara.
65. Buktinya
World Tourism Organisation melaporkan bahawa pada 2016, Malaysia adalah negara
ke-12 yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia.
Bak kata orang,
Dari Melaka ke Negeri Pahang,
Tumpang Berteduh di Bandar Pekan;
Negara Tersohor Pelancong Pun Datang,
Itulah Tandanya Malaysia Aman.
66.
Seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat
Malaysia. Sehubungan itu:
Pertama: Sukacita diisytiharkan dalam Bajet ini, tahun
2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia Year 2020 di mana
Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM;
Kedua: Dua
bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman
kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua
peratus;
Ketiga: Menambah
satu bilion ringgit kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai
pinjaman mudah;
Keempat: Menyediakan 500 juta ringgit bagi program
pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur
pelancongan, homestay dan program eko-pelancongan;
Kelima:
Memperluas hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan visa di seluruh
dunia, terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan program Malaysia My Second
Home;
Keenam: Galakan
cukai bagi pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga
31 Disember 2020; dan
Ketujuh: Galakan
pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan
sehingga tahun taksiran 2020.
Tuan Yang Dipertua,
67. Selain
itu, industri pelancongan kesihatan turut diperkukuh menjadi sumber pendapatan
negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’ kepada pelancong kesihatan
ke Malaysia.
68. Bagi
hasrat ini, 30 juta ringgit disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel
Council untuk melaksanakan:
Pertama: Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan
Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan
kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi;
Kedua:
Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang menawarkan
insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik pelancong kesihatan;
Ketiga: Galakan
elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan
dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020;
Keempat: Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan
mendapatkan pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti
perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang
berdaftar dengan MHTC; dan
Kelima: Insentif
khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai
peningkatan eksport, bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai
tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan yang Dipertua,
69. Dalam
mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara bandar dan luar
bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan pengangkutan,
melalui langkah berikut:
Pertama: Pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL
yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat
membawa muatan kargo dan penumpang dalam tempoh empat jam. Kerja-kerja pembinaan
fizikal akan bermula Januari 2018.
Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia
jalan alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan
pengangkutan;
Kedua: Projek
MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi
37 stesen dengan anggaran kos 32 bilion ringgit.
Selain itu, Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3
atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan
Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021;
Ketiga: Projek
High Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur – Singapura sejauh 350 kilometer
dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026;
Keempat: Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak,
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan
kos lima bilion ringgit;
Kelima: Untuk
Projek Central Spine Road, 230 juta ringgit diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi
meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua
Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang;
Keenam: Bajet ini
juga mengisytiharkan bahawa,… Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai.
Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras,
rokok dan kenderaan bermotor; dan
Ketujuh: Untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara,
Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam akan
dibangunkan.
Pembangunan ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas
yang akan menjadi tarikan baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara.
Tuan Yang Dipertua,
70. Di samping
itu juga, Kerajaan melihat secara holistik keperluan rakyat untuk menikmati
sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat dengan langkah berikut:
Pertama: Tiga bilion ringgit disediakan kepada Dana
Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri
teknologi aeroangkasa dan rel.
Seterusnya, satu bilion ringgit diperuntukkan kepada
Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan
teksi;
Kedua: 95 juta
ringgit bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai;
Ketiga:
Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45 juta ringgit
dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometric untuk memantau
pemanduan perkhidmatan bas ekspres; dan
Keempat: 55 juta ringgit sebagai subsidi pengangkutan
perkhidmatan keretapi luar bandar, dari Tumpat ke Gua Musang.
Tuan Yang Dipertua,
71. Saya
membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk kesejahteraan rakyat,
tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kedudukan geografi, demi
kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya,… maka saya mengumumkan,…
Pertama: Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi;
Kedua: Membina
baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan
Sandakan;
Ketiga:
Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baru di Pulau
Tioman sedang dijalankan oleh Kerajaan; dan
Keempat:Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan
akan membuat feasibility study bagi membina jambatan menghubungkan Labuan
dengan tanah besar di Sabah.
Tuan Yang Dipertua,
72.
Sesungguhnya, kita berbangga Malaysia dikenali sebagai peneraju sistem
kewangan Islam dunia. Justeru, bagi memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai
pusat kewangan yang lebih komprehensif, Kerajaan akan meneruskan langkah
berikut:
Pertama: 1.5 bilion ringgit untuk pinjaman perniagaan
yang dikendalikan oleh SJPP, menggunakan harta intelek sebagai instrumen
cagaran dengan memberi jaminan pembiayaan sehingga 80 peratus; dan
Kedua: Memberi
pengecualian duti setem ke atas nota kontrak bagi transaksi jual beli
Exchange-Traded Fund dan Structured Warrants bagi tempoh tiga tahun mulai
Januari 2018.
73. Untuk
merancakkan pasaran modal dan menyediakan akses pelaburan, Alternative Trading
System akan diperkenalkan, tertakluk kepada pematuhan kesemua syarat dan
piawaian regulatori yang ditetapkan. Ini akan membolehkan padanan tawaran
jual-beli yang lebih efisien dan ketara.
Tuan Yang Dipertua,
74.
Selanjutnya juga, Kerajaan ini turut mendengar rintihan dan keluhan
banyak syarikat kecil seperti start-ups yang sukar mendapat akses kepada modal,
bagi membawa mereka ke pasaran yang lebih luas.
75. Untuk itu,
Bajet ini akan menggalakkan aktiviti venture capital dengan melaksanakan
langkah seperti berikut:
Pertama: Satu bilion ringgit disediakan oleh pelabur
institusi utama untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih
yang diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti;
Kedua:
Meluaskan pengecualian cukai pendapatan, meliputi fi pengurusan dan fi
prestasi yang diterima oleh syarikat pengurus venture capital mulai tahun
taksiran 2018 hingga 2022;
Ketiga: Bagi
memberi kemudahan kepada syarikat venture capital untuk melabur di dalam
syarikat teroka, adalah dicadangkan had minima pelaburan dalam syarikat teroka
dikurangkan daripada 70 peratus kepada 50 peratus, mulai tahun taksiran 2018
hingga 2022;
Keempat: Syarikat atau individu yang melabur dalam
syarikat venture capital, diberi potongan cukai bersamaan amaun pelaburan yang
dibuat di dalam syarikat teroka, terhad kepada maksima 20 juta ringgit setahun;
dan
Kelima: Galakan
pengecualian cukai pendapatan yang bersamaan jumlah pelaburan oleh angel
investor dalam syarikat teroka dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
76.
Seterusnya, Kerajaan akan terus merancakkan pasaran Sustainable and Responsible
Investment dengan langkah berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan ke atas penerima
geran khas Sukuk Green SRI berjumlah enam juta ringgit; dan
Kedua:
Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan fi pengurusan
diperluaskan kepada pengurus dana SRI konvensional yang diluluskan mulai tahun
taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,
77. Kerajaan
akan menggalakkan ekonomi cashless society melalui peningkatan keberkesanan
penggajian pekerja asing. Mulai 2018, Bank Negara Malaysia akan memantau
pembayaran gaji kepada semua pekerja asing, kecuali pembantu rumah, dibuat
melalui akaun bank tempatan
Tuan Yang Dipertua,
78. PE-TUNJANG
KEDUA: MENUJU ASPIRASI TN50. Pada pembentangan Bajet 2017 lalu, saya
memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bagi melakar sebuah negara
bangsa yang unggul, agar Malaysia terjulang dalam 20 negara terbaik di dunia.
79.
Dilaksanakan secara bottom-up, saya sendiri telah turun padang,
mengadakan siri-siri wacana dan dialog TN50, dengan pelbagai segmen masyarakat
seperti belia, mahasiswa, penjawat awam, penggiat seni, pendidik, dan pihak
swasta, bagi mendapatkan aspirasi, pandangan dan idea.
Setakat ini, lebih daripada 80 ribu aspirasi telah
diterima, menglibatkan 1.8 juta rakyat, mewakili pelbagai golongan dari seluruh
negara.
Tuan Yang Dipertua,
80. Menuju
TN50, bagi mencapai kualiti kerja dan kehidupan keluarga yang seimbang, Pihak
Berkuasa Tempatan hendaklah mewajibkan semua bangunan pejabat yang baharu
supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur.
81. Selain itu, TN50 juga menekankan aspek
pembelaan nasib semua golongan, termasuklah kebajikan Orang Kurang Upaya atau
OKU.
Justeru, potongan cukai tambahan bagi majikan menggaji
OKU diperluaskan kepada majikan yang menggaji pekerja yang mengalami kemalangan
atau penyakit kritikal, yang disahkan
oleh Lembaga Perubatan PERKESO bahawa mereka masih layak bekerja.
Tuan Yang Dipertua,
82.
Seterusnya,… demi menjamin masa depan generasi TN50 yang lebih cerah,
Kerajaan bersama-sama PNB telah bersetuju supaya,… setiap anak Malaysia yang
dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022, dihadiahkan Dana Tabungan
Permulaan sebanyak 200 ringgit melalui unit Amanah Saham di PNB.
83. Skim yang
pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan sebagai Amanah Dana
Anak Malaysia 2050, atau sesudahnya ini dikenali sebagai ADAM50.
Tuan Yang Dipertua,
84. Menyentuh
tentang pendidikan untuk generasi TN50 lagi, sebanyak 250 juta ringgit
disediakan untuk:
Pertama: Menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik atau STEM, bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini, bagi
melatih guru pakar STEM mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru sedia
ada, dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia;
Kedua:
Mempertingkatkan modul Computer Science yang termasuk program Coding
dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah, yang kini telah pun wujud di
Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga;
Ketiga:
Memperuntukkan 190 juta ringgit bagi menaiktaraf dua ribu kelas menjadi
Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21, bagi meningkatkan pembelajaran
berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif; dan
Keempat: Menuju TN50, Kerajaan juga melihat peranan
penggiat seni untuk mengangkat mutu budaya ke tahap yang lebih tinggi. Untuk
itu, hampir 20 juta ringgit disediakan kepada Cultural Economy Development
Agency.
Tuan Yang Dipertua,
85. Mutakhir
ini, Kerajaan amat berbangga dengan
pencapaian terbaik pendidikan tinggi negara kita:
Pertama: Menurut Laporan QS University Ranking 2017/2018,
kelima-lima Research Universities di negara ini telah meningkat naik tergolong
kumpulan 300 universiti terbaik global, yakni tersenarai antara satu peratus
terbaik dunia;
Kedua: Malah,
ranking Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga, ke kedudukan
114, menghampiri 100 universiti terbaik dunia;
Ketiga: Mengikut
ranking Universitas 21, yang menilai sistem pendidikan tinggi, Malaysia
ditempatkan pada kedudukan ke-25 terbaik dunia, kita telah mendaki sebanyak 11
anak tangga dalam tempoh 6 tahun; dan
Keempat: Dengan jumlah 134 ribu pelajar asing di IPT
tempatan, kita menghampiri matlamat menjadi Hab Pendidikan Tinggi Serantau.
Tuan Yang Dipertua,
86. Sejak
tahun 2009 hinggalah sekarang, peruntukan untuk biasiswa yang disediakan oleh
Kerajaan berjumlah 44 bilion ringgit. Bagi tahun 2018:
Pertamanya: 2.2
bilion ringgit bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian
Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan;
Kedua:
400 juta ringgit untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada IPTA, berbanding
235 juta ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet yang lalu, termasuk satu
peruntukan khas kepada Universiti Malaya untuk mencapai status Top 100
Universities in the World dalam masa terdekat;
Ketiga:
90 juta ringgit diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang
melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran; dan
Keempat:
Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan terus diberi Bantuan
Baucar Buku bernilai 250 ringgit, memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar.
Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan sekalung tahniah
kepada barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar di semua Universiti
Awam, yang nampak kali ini, majoritinya dimenangi oleh pimpinan Mahasiswa
Pro-Aspirasi, generasi pewaris TN50. Sebahagian wakil mereka turut bersama
kita. Syabas dan tahniah diucapkan!
Tuan Yang Dipertua,
87. Rakyat
Malaysia perlu mempersiap siaga diri, peka dan pantas, melalui latihan dan
latihan semula, dalam memenuhi kehendak pasaran kerja. Kerajaan akan terus
memberi sokongan melalui,…
88. Contohnya,
Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M, yang telah melatih lebih 138 ribu graduan,
akan diteruskan dengan peningkatan sebanyak 5 ribu graduan kepada 25 ribu
perantis pada tahun hadapan. Manakala, program temuduga terbuka oleh unit SL1M
juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit.
89. Bagi
memperluaskan SL1M, syarikat swasta yang mendapat kontrak Kerajaan diwajibkan
memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek kepada SL1M.
90. Selain
itu, Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti
JobsMalaysia, SL1M, PERKESO, HRDF dan TERAJU di UTC untuk menyediakan khidmat
nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan.
91. Bagi
mencungkil bakat-bakat terbaik negara, Kerajaan akan mencipta ‘talent file’
program National Leaders Circle di bawah Talentcorp bagi mengenalpasti dan
menyenaraipendekkan bakat-bakat pimpinan yang sesuai dan tepat, untuk mengisi
jawatan-jawatan penting dan tertinggi.
92. Kerajaan
memandang serius gejala sosial yang membarah dalam masyarakat. Untuk
menanganinya, geran sepadan sebanyak 50 juta ringgit bagi membiayai social
enterprise dan NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian serta
cabaran sosial secara inovatif yang membantu rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
93. Pada Ogos
dan September yang lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
menyaksikan bahawa, Malaysia telah diisytiharkan sebagai Juara Keseluruhan
Temasya Sukan SEA Ke-29, dan mendapat tempat Kedua Sukan Para ASEAN Ke-9.
94. Justeru,
bagi pihak Kerajaan, marilah kita beri tepukan paling gemuruh kepada semua
‘wira’ dan ‘wirawati’ kita di atas sana!
Tuan Yang Dipertua,
95. Bagi
mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi sports powerhouse, Kerajaan
memperuntukkan satu bilion ringgit bagi melaksanakan inisiatif meliputi
FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlit, program akar umbi dan program
pembangunan bola sepak negara.
96. Kerajaan
juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan
kos 112 juta ringgit.
97. Di samping
itu, sukacita diumumkan peruntukan 20 juta ringgit kepada Sekolah Sukan Bukit
Jalil, untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier.
Tuan Yang Dipertua,
98. PE-TUNJANG
KETIGA: MENG-UNGGULI PEMBANGUNAN
PENDIDIKAN, LATIHAN, KEMAHIRAN DAN BAKAT. Untuk pengetahuan, perbelanjaan
pendidikan Malaysia adalah lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan negara
ASEAN lain secara purata. Bagi tahun 2018, 61.6 bilion ringgit disediakan untuk
sektor ini.
Ini termasuk 654 juta ringgit bagi pembinaan empat pra
sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak
autisme; 48 buah sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional, serta sebuah
pusat matrikulasi.
99. Saban
tahun, Bajet ini sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas Penambahbaikan
dan Penyelenggaraan Sekolah. Di sudut ini, 550 juta ringgit diperuntukkan,
dengan pecahan berikut:
• Kepada
Sekolah Kebangsaan – 250 juta ringgit;
• Kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina – 50 juta ringgit;
• Kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil – 50 juta ringgit;
• Kepada
Sekolah Mubaligh – 50 juta ringgit;
• Kepada
Sekolah Berasrama Penuh – 50 juta ringgit;
• Kepada
Maktab Rendah Sains MARA – 50 juta ringgit; dan
• Kepada
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – 50 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
100.
Menyedari dan menginsafi hakikat bahawa terdapat hampir 2 ribu sekolah
di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti bumbungnya bocor,
lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak
berganti.
101.
Untuk itu, melalui kaedah Industrial Building System, Kerajaan dengan
penuh rasa tanggungjawab, mengumumkan,… peruntukan ter-besar sejumlah 2.5
bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500 juta ringgit buat
sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion ringgit di Sabah dan 1
bilion ringgit di Sarawak.
102.
Sejumlah 2.9 bilion ringgit pula, diperuntukkan untuk bantuan makanan,
buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.
103.
Manakala, Bantuan Persekolahan seratus ringgit seorang kepada murid
sekolah berpendapatan rendah diteruskan, dengan peruntukan 328 juta ringgit,
memanfaatkan 3.2 juta murid.
Tuan Yang Dipertua,
104.
Menyentuh hal pendidikan, teringat saya intisari sajak Guru Oh Guru yang
sering disesuaikan dengan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman
Awang atau nama pena-nya Tongkat Warrant, berbunyi:
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,…
Menjadi seorang Perdana Menteri,… menjadi doktor,…
menjadi peguam,…
Menjadi ahli politik,… menjadi akauntan,…
Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,…
Dengan lembut dan sabar,…
Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.
105.
Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar
diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang telah
bertungkus-lumus membangunkan anak-anak bangsa!
Tuan Yang Dipertua,
106.
Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman untuk
anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian pendidikan tinggi.
107. Dalam
bab PTPTN ini, semua kena faham,… seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap
hutang dan wajib dibayar.
108. Maka
hal PTPTN ini usahlah dipolitikkan, tapi peminjam perlu bertanggungjawab
membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang turut memerlukannya,
sebagai mana anda semua.
109.
Kepada semua peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun
bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 seperti berikut:
20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh
pinjaman;
10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus
daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau
direct debit mengikut jadual.
110. Bukan
itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti
berikut:
Pertama: Bagi
pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus ber-boleh-pasaran tinggi, 200
juta ringgit ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka; dan
Kedua:
Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12
bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini.
111.
Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke
peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka
boleh meng-gabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan
hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah
itu.
112. Jelas
sekali,… pelbagai ruang telah Kerajaan berikan,… kalau tak bayar juga, tak tahu
lah apa yang kita nak ucapkan lagi,…
Tuan Yang Dipertua,
113. Selain itu, bagi menggalakkan budaya menabung
untuk pendidikan, 250 juta ringgit disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur
7 hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan
semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN.
Geran sepadan lima ratus ringgit akan diberikan kepada
mereka yang mempunyai jumlah caruman sekurang-kurangnya lima ratus ringgit, dan
hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun.
114.
Tambahannya, tempoh pelepasan cukai pendapatan individu dilanjutkan,
terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam
SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018.
Tuan Yang Dipertua,
115.
Sebetulnya lagi, menyedari kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal
dan Vokasional atau TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan
berdaya saing, kesemua institusi TVET di bawah tujuh Kementerian, dijenamakan
sebagai “TVET Malaysia”, di bawah koordinasi Kementerian Sumber Manusia.
116. Selain itu, Kerajaan memperuntukkan 4.9
bilion ringgit untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.
117. Bagi
menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, Kerajaan menyediakan seratus
Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan 4.5 juta ringgit.
118. Bagi
menyokong perkembangan industri pekerja mahir dalam bidang rel, Kerajaan akan
menubuhkan National Rail Centre of Excellence, berperanan menyelia dan
menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan dan latihan rel negara.
Sebagai tambahan, syarikat Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., dengan kerjasama IPTA,
akan melatih tiga ribu profesional dalam industri ini.
Tuan Yang Dipertua,
119.
PE-TUNJANG KEEMPAT ADALAH MEMACU PEMBANGUNAN INKLUSIF. Sesungguhnya,
kualiti infrastruktur dan interconnectivity negara akan terus dipermodenkan.
120.
Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada Projek-Projek Infra-Rakyat
bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita
siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari.
121.
Menariknya, MRT ini merupakan ‘success story’ di mana kita bukan sahaja
dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah, telah berjaya
menjimatkan kos sebanyak 2 bilion ringgit daripada jumlah asal pembinaan.
Tuan Yang Dipertua,
122.
Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan telah
mengotakan janjinya melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO.
123.
Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar kepada
“urang-urang” Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di kaki-kaki
halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu Song, yang
sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar.
Tuan Yang Dipertua,
124. Untuk
infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion ringgit disediakan,
antaranya:
Pertama: 2
bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua
11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa
Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender;
Kedua: 1.1
bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu
jalan kampung, surau serta pasar;
Ketiga: Satu
bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi membangunkan infrastruktur
komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak;
Keempat: 934
juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit
untuk Sabah dan Sarawak;
Kelima: 672
juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620 juta ringgit untuk Sabah dan
Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar bandar.
Secara keseluruhannya, sejak 2009, lebih 100 bilion
ringgit subsidi telah dibelanjakan termasuk subsidi gas bahan api, untuk
membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan elektrik yang murah, berkualiti
dan realiable;
Keenam: 420 juta
ringgit termasuk hampir 300 juta ringgit
untuk Sabah dan Sarawak, disediakan bagi bekalan air bersih meliputi 3 ribu
rumah;
Ketujuh: 500 juta ringgit disediakan untuk Program
Penyelenggaraan Infrastruktur Awam, dan Projek Infrastruktur Asas, untuk
memenuhi keperluan dan wishlist rakyat di peringkat akar umbi; dan
Kelapan: 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan
pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20 juta
ringgit untuk Sabah.
Sebahagian daripada projek rakyat-centric ini akan
dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta.
125.
National Blue Ocean Shift atau NBOS juga terus dilaksanakan secara
pantas dan bersepadu, dengan kos yang minima serta berimpak tinggi.
126. Bagi
2018, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan untuk program NBOS termasuk
pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township, Mobile CTC, program
keusahawanan, Global Entrepreneurship Community serta Usahawan Sosial yang
inklusif dan vibrant.
Tuan Yang Dipertua,
127.
Kebajikan para peneroka FELDA terus dibela. Lebih 112 ribu peneroka
FELDA telah menerima ‘durian runtuh’ melalui enam insentif utama, antaranya
bayaran Insentif Khas Peneroka bernilai 5 ribu ringgit.
128. Saya
juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan mengembalikan semula wang ses yang telah
dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula kelapa sawit,
dari tahun 2010 hingga 2016. Ini akan memanfaatkan 8,925 peneroka FELDA dengan
peruntukan 43 juta ringgit. Bukan itu sahaja, 60 juta ringgit juga disediakan
untuk program tanaman semula sawit.
129.
Selanjutnya, 164 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 5 ribu unit
Rumah Generasi Kedua FELDA, dengan kerjasama SPNB.
130.
Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada
FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.
Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan
memperjuangkan nasib para peneroka FELDA.
Tuan Yang Dipertua,
131. Bagi
mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH, Kerajaan telah
menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi.
132. Di
samping itu, Kerajaan akan Mempertingkatkan Keselamatan Sempadan Dan
Ketenteraman Awam dengan memperuntukkan lebih 14 bilion ringgit untuk Angkatan
Tentera Malaysia, hampir 9 bilion ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih
900 juta ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
133.
Program utama yang akan dilaksanakan merangkumi:
Pertama: Tiga
bilion ringgit untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan;
Kedua: 720
juta ringgit bagi pembinaan sebelas ibu pejabat dan enam balai polis, serta
pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi. Manakala 170 juta
ringgit untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta 100
juta ringgit bagi menaik taraf sistem komunikasi.
Selanjutnya, bagi menjaga kebajikan anggota polis, saya
dengan sukacitanya mengumumkan,… 10 ribu unit Perumahan Penjawat Awam
1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga
gaji anggota polis;
Ketiga:
490 juta ringgit kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta
bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal peronda;
Keempat: 250
juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan
sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50 juta ringgit untuk coastal surveillance
radar;
Kelima:
50 juta ringgit bagi meningkatkan keupayaan aset pesenjataan pasukan
gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan; dan
Keenam:
Selain itu, dalam menghargai peranan RELA membantu masyarakat selama
ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang paling tinggi, iaitu hampir 250 juta
ringgit bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.
134. Dalam
menjaga kebajikan para tentera, Kerajaan akan:
Pertama:
Menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina
lebih 40 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun 2030. Bagi 2018, sebanyak hampir 6 ribu unit akan
dibina; dan
Kedua: 40
juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan
hospital veteran angkatan tentera.
135. Untuk
itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan
tepukan kepada semua anggota keselamatan negara, merangkumi pasukan polis,
anggota tentera, dan APMM, yang telah berkorban jiwa dan raga, demi menjaga
keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini!
Tuan Yang Dipertua,
136.
Seperti mana kita maklum, Masyarakat Bumiputera kini menghampiri 70
peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.
137. Oleh
yang demikian, adalah wajar Kerajaan melalui dasar Transformasi Kesejahteraan
Bumiputera atau TKB, untuk terus mempastikan Agenda Pemerkasaan Bumiputera
menjadi Agenda Nasional.
138.
Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi
Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan.
139.
Contohnya, inisiatif Carve Out and Compete bagi Bumiputera, telah
mencapai nilai kontrak lebih 61 bilion ringgit. Juga, 1.7 bilion ringgit Dana
Mudahcara telah diluluskan kepada 515 projek, menyediakan lebih 44 ribu peluang
pekerjaan.
140. Apa
yang membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa, kontraktor-kontraktor
Bumiputera semakin berdaya saing dan berkeupayaan, malah mampu menyiapkan
projek lebih awal dari jadual, tanpa menjejaskan kualiti.
141. Di
sudut lain, melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, hampir 17 ribu
bakat-bakat profesional bumiputera telah berjaya dilahirkan seperti di bidang
perakaunan dan kejuruteraan.
142.
Selain itu, 2.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada UiTM. Dalam pada
ini, Kerajaan telah menambah bilangan kemasukan pelajar di UiTM kepada lebih
165 ribu orang dengan sasaran mencapai 250 ribu pelajar menjelang 2020.
143. Lebih
membanggakan, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya melahirkan lebih
700 ribu graduan Melayu dan Bumiputera.
144.
Laginya, untuk 2018, Kerajaan memperuntukkan lebih 3.5 bilion ringgit
bagi inisiatif:
Pertamanya:
2.5 bilion ringgit, yakni tertinggi pernah diberikan, untuk biasiswa
pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan hampir 90 ribu
pelajar, termasuk 1,500 dalam bidang kritikal seperti Artificial Intelligence,
signalling dan Rel;
Kedua: 90
juta ringgit, bagi Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas, memanfaatkan
hampir 8 ribu orang;
Ketiga: 200
juta ringgit untuk MARA Graduate Employability Training Scheme atau GETS;
Keempat: 555
juta ringgit untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera, terdiri
daripada:
· 200 juta
ringgit bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB;
· 200 juta
ringgit untuk Program Pembangunan Keusahawan MARA; serta
· 155 juta
ringgit untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia
Bumiputera atau TUBE, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dan Skim
Anjakan Usahawan; dan
Kelima: Bagi
meningkatkan pegangan ekuiti dan pelaburan dalam sektor strategik, 150 juta
ringgit diperuntukkan kepada Pelaburan Hartanah Berhad dan 150 juta ringgit
kepada EKUINAS.
Tuan Yang Dipertua,
145.
Sebagai suatu Bajet yang inklusif, untuk komuniti Cina pula, Kerajaan
turut menyediakan 50 juta ringgit untuk pinjaman PKS melalui KOJADI.
146.
Sebagai tambahan, 30 juta ringgit juga disalurkan kepada Yayasan Peniaga
dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti
Cina.
147.
Sementara itu, kepada pembangunan Kampung-kampung Baru Cina, sebanyak 65
juta ringgit diperuntukkan, dan 10 juta ringgit lagi untuk program membaik
pulih rumah.
Tuan Yang Dipertua,
148.
Menyentuh kebajikan kaum India pula, purata pendapatan bulanan isi rumah
menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi, iaitu 6.8 peratus setahun. Laginya baru-baru ini, saya telah melancarkan
Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.
149. Untuk
itu, melalui TEKUN, 50 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Usahawan
Masyarakat India, memanfaatkan lebih 35 ribu usahawan. Sebagai tambahan, 50
juta ringgit lagi diperuntukkan untuk program pembangunan sosio ekonomi
masyarakat India.
150. Pada
masa yang sama, melalui MIB juga, pengambilan kaum India ke institusi pengajian
tinggi awam dan perkhidmatan awam akan Kerajaan tingkatkan, dengan sasaran
pengambilan baharu tujuh peratus.
151. Di
bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India atau SEDIC pula, lebih 230
juta ringgit telah diagihkan sejak 2014, memanfaatkan lebih 500 ribu peserta
kaum India.
152. Bajet
2018 juga akan memperkenalkan satu inisiatif baharu untuk masyarakat India.
Sukacita saya maklumkan bahawa PNB akan membuat pengagihan khas sejumlah 1.5
bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad
kepada 30 ribu unit setiap pelabur.
153. Bagi
menyokong inisiatif ini juga, dana sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan
untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan
ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India,
terhad kepada 5 ribu unit setiap peserta.
154. MIB
membuktikan kepada masyarakat India bahawa, dalam pembangunan negara, tidak ada
kelompok yang ketinggalan,… ‘indeed, the future belongs to all of us’ atau dalam
bahasa Tamilnya disebut sebagai, ‘NAA-LEY NAMA-THEY’.
Tuan Yang Dipertua,
155. Bagi
meningkatkan taraf hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli, 50 juta
ringgit disediakan, meliputi program bantuan makanan komuniti, memanfaatkan hampir
5 ribu pelajar Orang Asli.
156.
Selain itu, sebagai insentif kepada anak Orang Asli yang berjaya,
Kerajaan juga akan memberi bantuan sebanyak 3 ribu ringgit kepada ibu bapa,
sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian
tinggi.
157.
Selanjutnya, Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli juga
diteruskan dengan peruntukan sebanyak 60 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
158.
Sememangnya wanita adalah tulang belakang kepada kesejahteraan keluarga
dan pembangunan negara. Maka, sebagai menghargai sumbangan mereka, sukacitanya
Kerajaan mengumumkan, 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.
159. Ke
arah itu, antara langkah yang akan dilaksanakan:
Pertama:
Mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga
pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018;
Kedua:
Mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta
dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari, seperti yang telah dilaksanakan oleh
perkhidmatan awam;
Ketiga: 20
juta ringgit untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK
Entrepreneur Programme di bawah MyWin Academy; dan
Keempat: Bagi
menggalakkan golongan wanita kembali bekerja, Kerajaan mencadangkan layanan
pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang
diperolehi dalam tempoh 12 bulan berturut-turut, kepada mereka selepas tempoh
sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan. Pengecualian ini
layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,
160.
PE-TUNJANG KELIMA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN PELUANG MENJANA
PENDAPATAN.
161.
Kerajaan terus komited dan berikhtiar gigih dalam mewujudkan peluang
pekerjaan serta menjana pendapatan, melalui langkah-langkah berikut:
Pertama: 100
juta ringgit untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah
MDEC;
Kedua:
Menyediakan pinjaman mudah sebanyak 120 juta ringgit kepada seribu
usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia melalui Bank
Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah
empat peratus;
Ketiga: 60
juta ringgit untuk program 1AZAM, termasuk 10 juta ringgit untuk Sabah dan 10
juta ringgit untuk Sarawak; dan
Keempat: 25 juta
ringgit untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur
GiatMara, dan program MyAGROSIS.
162. Di
sudut lain, selaras dengan IR 4.0, kepada semua pemandu teksi berdaftar sedia
ada, bahawa Kerajaan mendengar pandangan tuan-tuan, yang berhasrat untuk
bertukar ke penggunaan aplikasi e-hailing. Untuk itu, saya umumkan,… geran 5
ribu ringgit disediakan kepada setiap pemandu teksi yang terlibat untuk membeli
kereta baharu.
Kita berasa gembira kerana beberapa wakil pemandu teksi
turut hadir mendengar pembentangan Bajet pada petang ini. Kita ucapkan terima
kasih,… terima kasih!
Tuan Yang Dipertua,
163. Sejak
BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan
rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada
golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya.
164. Hatta, pihak pembangkang yang begitu
negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai “dedak” itu dan “umpan” ini,
tapi kini tanpa segan silu membuat “u-turn”, dan khabarnya Kerajaan Pulau
Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini.
165.
Sehubungan itu, jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima
dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7 juta penerima itu
akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga 1,200 ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
166.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi
rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.
167.
Dengan ini, saya mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap 2.3
juta pembayar cukai, yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan pendapatan
pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah berpendapatan 9 ribu
ringgit ke bawah.
168. Ingin
saya umumkan,…. kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua
mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara 20 ribu hingga 70 ribu
ringgit, iaitu:
Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 20,001
ringgit sehingga 35,000 ringgit, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada
3 peratus;
Kedua: Banjaran
Pendapatan Bercukai daripada 35,001 ringgit sehingga 50,000 ringgit pula,
kadarnya diturunkan daripada 10 peratus
kepada 8 peratus; dan
Ketiga: Banjaran
Pendapatan Bercukai daripada 50,001 ringgit sehingga 70,000 ringgit kadarnya
diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.
Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna
rakyat antara 300 ringgit sehingga seribu ringgit. Ini bermakna, dianggarkan
sejumlah 1.5 bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan
oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, semua pembayar cukai akan mendapat faedah
di samping lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai
pendapatan.
Tuan Yang Dipertua,
169.
Seperkara lagi, demi kemaslahatan rakyat seharian, Bajet ini masih
memperuntukkan 3.9 bilion ringgit subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk
gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
170.
Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kedai Rakyat 1Malaysia akan
distruktur semula sebagai KR1M 2.0. Sebagai permulaan pada 2018, 50 kedai akan
dijadikan KR1M 2.0 dan diperluaskan kepada tiga ribu KR1M 2.0 dalam tempoh tiga
tahun.
171. KR1M
2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu
beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG. Di samping itu, 50 jenis barangan
pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.
172. Bagi
Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak
diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit.
173. Di
samping itu, Kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia dengan peruntukan
20 juta ringgit, bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan
dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di Putrajaya.
174.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan program
melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit, bertujuan agar
pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga berpatutan, seperti ikan,
sayur, ayam dan telur.
Tuan Yang Dipertua,
175. Seterusnya,
berita gembira buat pengguna lebuhraya di Selangor, Kedah dan Johor. Mulai 1
Januari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk:-
Pertama:
Memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di
Selangor;
Kedua:
Memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan
Ketiganya: Memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal
Link, Johor.
Tuan Yang Dipertua,
176. Bagi
mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Kerajaan akan
meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus tertakluk kepada
maksimum 250 ringgit setahun di dalam Skim Persaraan 1Malaysia, di bawah KWSP.
Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022.
Tuan yang Dipertua,
177.
Kerajaan sedar akan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah, bagi
penggajian pembantu rumah asing. Pada masa ini, kos keseluruhan membawa masuk
setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi 12 hingga 18 ribu ringgit.
178. Bagi
mengatasi isu ini, Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah
asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan.
179.
Sebagai permulaan, Kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil
pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa
melalui ejen.
180.
Seterusnya, majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan
Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti
kadar sedia ada.
Tuan Yang Dipertua,
181. Dalam
hal perumahan dan kediaman, Kerajaan akan merancakkan lagi usaha pemilikan
rumah untuk rakyat dengan peruntukan 2.2 bilion ringgit seperti berikut:
Pertama: 17,300
unit rumah Projek Perumahan Rakyat;
Kedua:
3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB;
Ketiga: 210
ribu unit rumah di bawah program PR1MA
yang berharga 250 ribu ringgit ke bawah. Untuk ini, 1.5 bilion ringgit
diperuntukkan bagi tempoh dua tahun;
Keempat: 25 ribu
unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di bawah PPA1M, dan 128 ribu unit
lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan;
Kelima: 600
unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi
rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan
kawasan orang asli;
Keenam: 2 ribu
unit rumah di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan
program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; serta
Ketujuh: 200
juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung
Penyelenggaraan 1Malaysia.
182. Bagi
menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim step-up financing
yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta,
berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.
183.
Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem
ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan kepada
kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuatkuasa 1
Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.
Tuan Yang Dipertua,
184. Bagi
tujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman pula, buat kali pertama dalam
tempoh 60 tahun,… Kerajaan mengumumkan,… pengecualian cukai ke atas pendapatan
sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga dua
ribu ringgit sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di
Malaysia.
185.
Pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi
penyewa dan pemilik rumah.
Tuan Yang Dipertua,
186. Bagi
menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan
hampir 27 bilion ringgit, meliputi:
Pertama: 2.5
bilion ringgit bagi bekalan ubat-ubatan dan 1.6 bilion ringgit untuk barangan
consumable dan sokongan perubatan;
Kedua: 1.4
bilion ringgit bagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan
perubatan dan ambulan, termasuklah pembinaan dewan bedah secara modular di tiga
hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau;
Ketiga:
Menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital
Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar;
Keempat: 100
juta ringgit untuk menaik taraf hospital dan klinik termasuk sistem pendawaian;
Kelima: 50
juta ringgit untuk bantuan haemodialisis dengan subsidi 100 ringgit daripada
keseluruhan kos 110 ringgit setiap sesi rawatan.
Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar
sepuluh ringgit sahaja bagi setiap sesi rawatan.
40 juta ringgit lagi diperuntukan bagi Tabung Bantuan
Perubatan. Kedua-dua insentif ini khusus untuk golongan kurang berkemampuan;
Keenam: 10 juta
ringgit untuk menampung kos perubatan bagi rawatan rare diseases yang kian
meningkat, dan 30 juta ringgit disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa
Negara ke arah kesedaran terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10 ribu
kawasan seluruh negara; dan
Ketujuh: Sejumlah 50 juta ringgit diperuntukkan kepada
Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sektor kesihatan.
187.
Selanjutnya, Kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi:
Pertama: Dua
blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital
Putrajaya, dengan kapasiti 300 katil setiap satu, dengan kos satu bilion
ringgit;
Kedua:
Pusat Kanser di Sungai Petani, dengan kos 500 juta ringgit, dengan
kapasiti 200 buah katil;
Ketiga: Blok
klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang, berkapasiti 300 buah
katil, dengan kos 500 juta ringgit; dan
Keempat: Pusat
perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur,
dengan kos 380 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
188.
Berkaitan GST pula, bagi terus menambah baik pelaksanaannya, Kerajaan
mencadangkan:
Pertama: Semua
pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan GST, berkuatkuasa mulai 1
April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan pilihan PBT;
Kedua:
Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan
diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala
mulai 1 Januari 2018;
Ketiga:
Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan
pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini
bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020; dan
Keempat:
Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan
sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang
diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan
yang ditandatangani mulai 1 April 2017.
Tuan Yang Dipertua,
189.
Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah
dipolemikkan sebagai isu politik,… kerana terbukti GST menjadi penyelamat
kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41 bilion ringgit ini,
kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang
diperlukan untuk rakyat.
190.
Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang
keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on
zero-rate,… dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula,…
Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu,
terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.
191.
Selanjutnya,…
Kelima: Pelepasan
GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di
bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan
Ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018;
Keenam:
Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket items, seperti
kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang
berdaftar di Malaysia.
Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam
industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung.
Langkah ini bermula 1 Januari 2018; dan
Ketujuh: Perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan
bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan
perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi
perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju
perumahan, mulai 1 Januari 2018.
Tuan Yang Dipertua,
192. PE-TUNJANG
KEENAM: MEMPERSIAGA REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT DAN EKONOMI DIGITAL. Dunia
kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era digital economy,
sehingga Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Digital Malaysia.
193. Lantaran
itu, sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan IR 4.0, Kerajaan akan
menyediakan geran sepadan sebanyak 245 juta ringgit di bawah Dana Strategik
Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.
194.
Selanjutnya, Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan sebagai
pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk membangunkan prototype
produk serta melonjakkan daya inovasi.
195. Berkait
ini Tuan Yang Dipertua, Kerajaan akan memberi galakan cukai seperti berikut:
Pertama:
Melanjutkan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200
peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020;
Kedua:
Galakan Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus, untuk sektor
pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan; dan
Ketiga:
Elaun Modal bagi peralatan ICT termasuk perbelanjaan pembangunan
perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga
2020.
Tuan Yang Dipertua,
196. Walau
semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara
kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita.
197. Berkait
ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang
pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20 mangsa, dan 11 daripadanya
disahkan meninggal dunia. Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap
keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.
198. Yang
terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita
segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong, bertajuk, “Tanah Runtuh di
Lereng Bukit” di ruangan Twitternya, yang berbunyi
Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan,
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.
199.
Sebetulnya, apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja
yang tahu,…
Tuan Yang Dipertua,
200. Jadinya,
untuk mempastikan pembangunan lestari, langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama:
Lima bilion ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau,
bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau;
Kedua:
Melaksanakan Program Non-Revenue Water, untuk mengurangkan kadar purata
kehilangan air dengan kos 1.4 bilion ringgit;
Ketiga:
Membina Off-River Storage sebagai sumber air alternatif dengan kos 1.3
bilion ringgit; dan
Keempat:
517 juta ringgit disediakan untuk rancangan tebatan banjir di seluruh
negara.
201. Berbalik
kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital Free Trade Zone
yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi e-Fulfilment Hub,
Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi melonjakkan negara dalam
perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA sebagai gateway serantau.
202. Fasa
Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi digital dan
dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan mewujudkan 2,500
peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini:
Pertama:
83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur
fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan
Kedua:
Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800 ringgit, untuk
mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-commerce serantau.
Tuan Yang Dipertua,
203.
Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk
meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up tempatan.
204. Sukacita
diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan ‘regulatory sandbox’ bagi
memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan model perniagaan baharu, yang
akan dilaksanakan oleh semua Regulator berkaitan.
Tuan Yang Dipertua,
205. PE-TUNJANG
KETUJUH: MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN PENYAMPAIAN GLC DAN PERKHIDMATAN AWAM.
206. Selaras
dengan falsafah pembangunan growth with equity, Malaysia berhasrat mencapai
pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan pengagihan hasil ekonomi yang lebih
saksama kepada rakyat.
207. Bagi tujuan
ini, syarikat GLC akan merintis teladan kepada sektor korporat melalui KPI bagi
meningkatkan nisbah pampasan pekerja, selaras dengan pertumbuhan produktiviti
seperti berikut:
Pertama:
GLC akan meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pekerjanya, seperti
menerusi pembayaran gaji dan elaun, secara berperingkat;
Kedua:
Memperkenalkan flexible benefits, yakni pekerja diberi pilihan untuk
meningkatkan pendapatan boleh guna, dengan menukar kelayakan cuti tahunan dan
kesihatan kepada ganjaran tunai;
Ketiga:
Menambah baik flexible work arrangements, untuk menggalakkan work-life
balance melalui pengubahsuaian waktu bekerja mingguan, waktu kerja anjal dan
kerja separa masa;
Keempat:
Memperkenalkan kemudahan lepasan cuti untuk menunaikan umrah;
Kelima:
Bagi menyokong ibu bapa bekerja, GLC akan menyediakan taska di pejabat
utama, dan kemudahan pengurangan waktu bekerja untuk pekerja wanita yang mengandung; dan
Keenam:
Meningkatkan pelaburan dalam latihan, khususnya melaksanakan kursus
kemahiran digital untuk pekerja dan bantuan pendidikan untuk anak pekerja.
Tuan Yang Dipertua,
208. Berhubung
hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak termasuk warga emas,
OKU dan kanak-kanak, sukacita Kerajaan mengumumkan bantuan 1.7 bilion ringgit
kepada mereka, dan juga:
Pertamanya:
Menaikkan elaun warga emas 50 ringgit menjadi 350 ringgit sebulan,
memanfaatkan hampir 144 ribu orang, dengan peruntukan 603 juta ringgit; dan
Keduanya: Menaikkan elaun OKU yang
bekerja, tidak bekerja dan penjaga OKU sebanyak 50 ringgit sebulan,
memanfaatkan lebih 163 ribu orang dengan peruntukan 100 juta ringgit.
209. Selain
itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual, Kerajaan telah
menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang pertama
seumpamanya di Asia Tenggara. Pada tahun hadapan, tiga lagi mahkamah akan
ditubuhkan.
Tuan Yang Dipertua,
210. Kepada
penjawat awam,… bagi memudahkan mereka memiliki rumah idaman, mulai 1 Januari
2018, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam akan melaksanakan:
Pertama:
Membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas
tanah wakaf;
Kedua:
Memasukkan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan
perumahan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA;
Ketiga:
Membenarkan pembiayaan perumahan bersama atau joint-loan daripada LPPSA,
antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua pemohon adalah anggota
perkhidmatan awam; dan
Keempat:
Membenarkan pembiayaan perumahan bersama antara suami-isteri atau
anak-anak, dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang pemohon adalah anggota
perkhidmatan awam,….
Manakala pemohon bersama bukan penjawat awam perlu
menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau agensi yang mempunyai skim
pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua.
Tuan Yang Dipertua,
211. PE-TUNJANG
KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI.
Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu dan dapat meramalkan apakah rupa bentuk,
wajah dunia pada masa mendatang.
212. Tapi
pastinya, Allah Hu Ta’ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan
gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya.
213.
Berbekalkan mafhum Surah Al-A’raf ayat 96, di mana Tuhan akan
melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk
dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa.
214. Sebab
itulah dalam konteks negara ini, Kerajaan mensasarkan Malaysia akan menjadi
sebuah negara yang:
Pertamanya: High
Income Advanced Economy pada tahun 2020;
Kedua:
Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada
tahun 2025;
Ketiga:
Menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan
signifikan pada tahun 2030;
Keempat: Watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir
zero defects pada tahun 2040; dan
Kelimanya: InsyaAllah,… kita akan mencapai sebuah
ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai
dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia.
Tuan Yang Dipertua,
215.
Hakikatnya, keluarga adalah institusi nukleus paling penting dalam
membentuk nilai dan pengutuhan insan. Kerana, kesepaduan sosial lazimnya
bermula daripada keharmonian dan kebahagiaan keluarga.
216. Untuk itu,
Kerajaan akan mewujudkan satu entiti baru yang dinamakan Institut Penyelidikan
Sosio-Ekonomi atau SERI di bawah JPM, dan juga menaik taraf KITA-UKM atau
Institut Kajian Etnik UKM sebagai institusi kebangsaan. Peruntukan yang
sewajarnya akan disediakan oleh Kerajaan.
217. SERI
berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta pelaksanaan program
juga projek pembangunan negara terhadap rakyat. Manakala KITA menyelaras
pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan mewujudkan indeks pembangunan
sosial negara.
218. Sebagai
analoginya, jika EPU berperanan seumpama the brain dalam menggubal dasar
ekonomi, manakala, ICU sebagai hands and legs dalam pemantauan projek, maka
KITA dan SERI akan berfungsi sebagai the soul or the heart. Ia mencakupi aspek
kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk
membina jati diri generasi TN50 bagi menangani gejala sosial.
219. Sehubungan
ini, Kerajaan sentiasa menghargai peranan NGO-NGO dan akan terus berkerjasama
dengan mereka dalam menangani masalah sosial. Penekanan akan diberikan kepada
institusi keluarga yang merupakan nukleus yang paling kecil, namun paling
penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat kita.
Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari,
220. Saya
tahu,… ramai yang ternanti-nanti pengumuman-pengumuman tertentu kepada 1.6 juta
penjawat awam, sebagaimana yang saya war-warkan dalam Majlis Amanat Perdana
Perkhidmatan Awam ke-15 pada awal bulan ini.
221. Lantas,
demi menghargai sumbangan para penjawat awam, khabar gembira yang
ditunggu-tunggu itu sudah pun tiba. Saya mengumumkan:
Pertama:
Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk
tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;
Kedua:
Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima
faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib;
Ketiga:
Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti
rehat pada tahun persaraan;
Keempat:
Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;
Kelima:
Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari
cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah;
Keenam:
Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja
Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;
Ketujuh:
Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya
4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari
seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi;
Kelapan:
Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan
pulang lebih awal sejam.
Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja Kerajaan
juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,… syaratnya, suami dan isteri mestilah
bekerja di lokasi yang berdekatan;
Kesembilan:
Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari
sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun;
Kesepuluh:
Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan
melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house;
Kesebelas:
Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit sebulan melibatkan
lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh
perkhidmatan; dan
Kedua belas:
Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara
Kerajaan.
Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari
2018.
Tuan Yang Dipertua,
222. Sebagai
negara Islam yang progresif dan dinamik, Kerajaan menghargai bakti Ketua
Kampung serta Tok Batin. Untuk itu, Kerajaan mengumumkan bayaran khas one-off
sebanyak 1,500 ringgit melibatkan 9,800 orang. Seribu ringgit akan dibayar pada
Januari 2018 dan 500 ringgit menjelang Hari Raya Aidilfitri.
223. Bagi
mempastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat dan tenteram, 40 juta ringgit
diperuntukkan untuk meneruskan pemberian geran Komuniti Penduduk 1Malaysia
sehingga 10 ribu ringgit kepada persatuan penduduk yang berdaftar.
224. Selain
itu, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk GiatMara melaksanakan program latihan
dalam komuniti, khususnya di 50 kawasan Projek Perumahan Rakyat untuk fasa
pertama.
Tuan Yang Dipertua,
225. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan
dengan insiden menyayat hati,… tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran
Itti-fa-qiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Setulus takziah kita ucapkan kepada
keluarga yang terlibat.
226. Demi
memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan, khususnya pengurusan
sekolah tahfiz, diperuntukkan 50 juta ringgit kepada GiatMara bagi membaik
pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang
berdaftar di seluruh negara.
227. Selain
itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran, Skim
Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan.
228. Di samping
itu, selain peruntukan 588 juta ringgit bagi bayaran elaun bulanan kepada imam,
bilal, guru KAFA dan guru takmir yang diterima selama ini, untuk lebih
menghargai mereka termasuk ‘Tok Siak’,
Kerajaan sukacita mengumumkan,…
Bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit kepada
mereka. Seribu ringgit dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit lagi menjelang
Hari Raya Aidilfitri, memanfaatkan lebih 65 ribu orang dengan peruntukan hampir
100 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
229.
Demikianlah moga kita dapat berasakan, bak kata orang tua-tua, sejuk
Dewan Parlimen Yang Mulia ini dek redup cuaca petang, agarnya Tuhan
memayung-mayungi dan merahmat-rahmati pembentangan Bajet 2018 ini.
230. Mengambil
iktibar daripada sirah perjuangan para Anbiya’, golongan solihin dan seluruh
kehebatan sejarah bangsa kita sendiri, malah, turut dipesan oleh Imam Ghazali
dan Bapak Hamka bahawa,… apalah guna kita hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa.
231. Akan
tetapi, apa yang Kerajaan mahukan adalah, sebuah bangsa yang bukan sahaja hebat
fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya, yakni Par Excellence Duniawi
dan Par Excellence Ukhrawi.
232. Pucuk
pangkalnya, sepanjang berbulan-bulan yang lalu, segala kerja keras dan titik
peluh Kerajaan secara kolektif, melibatkan semua Kementerian dan agensi, pihak
swasta, NGO, para belia, kumpulan profesional, dan,… ter-amat utama pelbagai
lapisan rakyat yang turut menyumbang idea dan cadangan melalui pelbagai
platform dan saluran, dalam merangka Naskhah Besar ini.
233. Kerana
itulah, belanjawan ini mencipta tawarikh sebagai sebuah Bajet yang paling
inklusif pernah dipersembahkan.
234. Semuanya,
tidak lain dan tidak bukan telah dikarang dan disusun dalam memenuhi tuntutan
DHO’-RU-RIYYAT, HAA-JI-YAT dan TAH-SI-NI-YAT, demi mensejahterakan kehidupan
rakyat, sekaligus memakmurkan negara.
235. Maka, Tuan
Yang Dipertua serta seluruh rakyat Malaysia, pada hemah saya, selaku Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan, inilah,….. belanjawan yang tidak pernah
diperucapkan sedemikiannya semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan
negara ini, kerana ianya bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,… dan
secara peribadinya,… boleh ditanda sejarah sebagai “IBU – SEGALA BAJET”.
236.
Sesungguhnya, bagi pihak Kerajaan, saya berani berkata demikian, kerana,
pada Bajet kali ini, telah terhimpun dan terungkap dalamnya pelbagai premis
yang menjadi asas kepada sebuah Bajet Komprehensif, mengambil hitung seawal
kepentingan bayi yang masih dalam kandungan sehingga lahir ke dunia ini,
sampailah urusan masa hadapan negara.
Tuan Yang Dipertua,
237. Oleh
semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba
dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang.
238.
Realitinya, pakatan pembangkang-lah sebenarnya yang selama ini,… berada
dalam Keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,… mereka curiga-mencurigai
antara satu sama lain,… malah, mereka
saling guna-memperguna sesama sendiri,… dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam
Bahasa Inggeris there is no certainty in political leadership, how can they be
trusted to provide a sound economic leadership.
Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong
pula,… nak meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan
tambah balik SST,… nak memotong cukai itu dan cukai ini,… nak menghapuskan
pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,… nak memperkenalkan
subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi bersasar,… dengan izin sekali lagi bak kata orang putih,
THE ONLY THING CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY
IN-CON-SIS-TENT.
Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,…
asyik-asyik u-turn,… and more u-turn,… sehingga segalanya membuat pemikiran
rakyat dikeliru, didamak dan diracuni.
Tuan Yang Dipertua,
239. Lalu,
syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala, kerana berkat
kegigihan usaha Kerajaan selama ini, dikurniakan hasil bagi dituai dan
dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian.
240. Kepada
Penjawat Awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma. Bagi menyanjung tinggi
sifat wala’ dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam mendokong kemajuan
negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi
berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya saya mengumumkan,….
Bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua penjawat
awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu seribu ringgit pada awal
Januari 2018, dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun
hadapan.
Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara Kerajaan, bayaran khas sebanyak 750 ringgit, iaitu 500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan 250 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Saudara dan Saudari Sahabat Seperjuanganku Sekalian,
241. Oleh itu,
biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,… tak sedikit pun kan goyah
Barisan ini,… kerana kita yakin bahawa, rakyat kini semakin bijak menilai yang
mana satu kaca dan yang mana satu intan.
242. Terlebih
penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan terus bersatu hati
dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa hadapan Malaysia yang cerah,
saujana mata memandang.
243. Bagai
disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila rakyat dan
Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,…
Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau
nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah
jadinya…
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,
244. Menyudahi
kalam, dalam melakar dan mencarta titian masa depan negara, seumpama membidak
buah-buah catur. Kita harus membaca gerakan dengan cermat dan mengatur strategi
dengan penuh berhati-hati.
245. Dan
segalanya hanya mampu diperbuat dan boleh dicapai dengan adanya kerjasama
ikhlas sepasukan. Bertuahlah saya kerana mempunyai, bukan sekadar seorang
Timbalan Perdana Menteri, tapi jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia,…
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
246.
Termustahak juga segala wala’ dan sokongan tidak berbelah bahagi yang
diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri, Pimpinan-Pimpinan
Parti Komponen dalam menakhoda bahtera Malaysia ini.
247. Lalunya,
bersumpah dan berjanjilah,… bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun
terpenggal putus tangan dari badan,… sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,…
amanah dan harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan
tergadai kepada pihak lawan.
248. Ayuhlah,…
kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan
geraham-geraham masing-masing,… sampai ketitisan darah yang terakhir,… membawa
Barisan Nasional,…. menuju kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.
InsyaAllah.
249. KepadaMu
ya Allah, kami berdoa dan berserah. Selamat dan afiatkan tubuh Malaysia, zahir
dan batin.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
YAB. Dato' Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Comments
Post a Comment