Skip to main content

5 legenda diberi penghormatan

NILAI  - Lima legenda berbasikal negara diberi penghormatan merasmikan Velodrom Nasional bernilai RM80 juta di sini hari ini yakni satu keistimewaan dan pengiktirafan yang pertama kali pernah diberikan kepada atlet negara.

Berbeza dengan kebiasaan yang mana pemimpin negara atau negeri diberi penghormatan tersebut, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kali ini memilih golongan atlet sendiri, sekali gus menjadikan majlis perasmian itu cukup unik serta bersejarah.
Lima legenda berbasikal yang diberi penghormatan itu adalah pemenang pingat emas Sukan Asia 1970, Ng Joo Ngan, pelumba trek pertama beraksi di Sukan Olimpik 1984 dan 1988, Rosman Alwi, pelumba pertama mara ke akhir acara perlumbaan mata di Sukan Olimpik 1992, M. Kumaresan, pelumba pertama mara ke akhir acara keirin Sukan Olimpik 2004, Josiah Ng dan juara keirin dunia yang baharu ditabalkan, Azizulhasni Awang.
Azizulhasni ketika berucap mewakili legenda-legenda berbasikal negara itu melahirkan penghargaan kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Ins­titut Sukan Negara (ISN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
“Kami yakin dengan penghormatan yang diberikan kerajaan dan adanya velodrom bertaraf dunia seperti ini, kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal dunia di masa akan datang,” katanya.
Pada majlis perasmian itu, Azizulhasni turut mempamer kayuhan bertenaga ketika menewaskan Josiah dalam perlumbaan pertunjukkan acara 200 meter pecut.
Majlis tersebut turut menghimpunkan ramai bekas-bekas pelumba basikal yang pernah menyumbang tenaga dan mengharumkan nama negara satu ketika dahulu.
Antara yang hadir adalah pelumba seperrti Yahya Ahmad, Shahrudin Jaafar, Ng Joo Pong, Rizal Tisin, Zainun Osman, Shahrulneeza Razali dan Noor Azian Alias.
Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Velodrom Nasional yang diklasifikasikan sebagai velodrom kelas 1 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) merupakan velodrom tertutup pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia bakal menjadi venue basikal trek Sukan SEA 2017 Ogos ini.
Sementara itu, Khairy turut memberitahu, Nilai akan dijadikan komp­leks sukan negara kedua selepas Bukit Jalil jika kerajaan Negeri Sembilan bersetuju memajak tanah berhampiran Velodrom Nasional.


Comments