Berbaloi beli motosikal lelong

SEREMBAN - Penyertaan dalam acara lelongan kenderaan sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dianjurkan setiap tahun boleh dianggap berbaloi bagi sesetengah pemilik bengkel.

Jika bernasib baik, mereka boleh membawa pulang berpuluh kenderaan sama ada motosikal, kereta atau lori dengan harga rendah.

Tidak hairanlah kenapa pemilik bengkel di Kelantan, Abdullah Hussien, 42, sanggup menjelajah ke seluruh negeri semata-mata tidak mahu melepaskan peluang mengikuti acara lelongan diadakan.

“Dalam tempoh lima bulan ini, saya dah pergi lima acara lelongan JPJ di seluruh negeri dan dah beli lebih kurang 40 buah motosikal.

“Tapi hari ini (semalam) saya hanya beli empat buah motosikal jenis Honda EX5, Yamaha RXZ, dan Modenas Kris yang harga keseluruhan RM9,450,”katanya ketika ditemui pada acara lelongan kenderaan sita di JPJ Seremban di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua motosikal dibeli akan dibaiki terlebih dahulu sebelum dijual semula dan ada diantaranya yang sudah ditempah pelanggan.

Manakala warga emas Teo Yook Wah, 60, berkata, penyertaannya dalam acara lelong berkenaan adalah sekadar mencuba nasib dan dia berjaya membeli enam buah motosikal dengan harga keseluruhan RM15,000.

“Saya bukannya macam orang lain yang akan pergi ke mana-mana acara lelongan kenderaan di seluruh negeri. Saya datang sekadar suka-suka, seronok lihat pelbagai aksi pembida.

“Saya ada bengkel di Bahau, Tampin dan motosikal yang dibeli akan dibaiki sebelum dijual semula. Sasaran saya motosikal jenis Yamaha RXZ kerana permintaannya agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri, Azrin Borhan berkata, sebanyak 50 buah motosikal sita telah berjaya dilelong dengan hasil lelongan sebanyak RM55,550.

Katanya, kesemua motosikal terbabit merupakan kenderaan yang disita ketika operasi dilakukan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.dan tidak dituntut hak milik dalam tempoh ditetapkan.

“Terdapat 40 pembida kali ini dan motosikal paling lama dilelong ialah tahun 1985 dan terkini tahun 2013.



“Nilai paling rendah yang dibeli oleh para pembida ialah RM100 iaitu motosikal jenis Suzuki RC 110cc dan paling tinggi jenis Yahama RXZ dengan harga RM4,050,”katanya.

Comments