TAMPIN - Seorang lelaki terkejut selepas menemukan sebutir bom lama di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Sungai Dua, Ayer Kuning Selatan dekat sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Hamazah Ab. Razak berkata, bom tersebut ditemukan oleh pemilik kebun berusia 59 tahun pada pukul 12 tengah hari.
Menurut beliau, pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu mendapati ia bom lama jenis Shell yang masih aktif berukuran 20 sentimeter panjang dan ukur lilit 20 sentimeter.
"Proses memusnahkan bom dilakukan secara elektrikal oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada pukul 5.20 petang di tempat bom dijumpai," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment