TELOK KEMANG - Pihak bomba menyelamatkan seekor penyu dipercayai spesies karah seberat 60 kilogram yang terperangkap di muka sauk Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar di Port Dickson di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Razif Mohamad Haris berkata, penyu yang kudung kaki kanan itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 1 petang.
Ujarnya, penyu itu dipercayai terperangkap pada jerejak besi di muka sauk tersebut selepas ditolak arus deras dari perairan Selat Melaka.
“Kaki kanan depannya kudung menyebabkan haiwan itu tidak dapat berenang dengan kuat.
“Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkannya dari laluan air tersebut dan melepaskannya semula ke laut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson bersama sebuah jentera terlibat dalam kerja menyelamat penyu tersebut. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment