PORT DICKSON - Kesemua lapan biro struktur organisasi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) perlu dilaksanakan secara seimbang bukan bersandarkan kepada peranan biro aduan sahaja untuk menjadi pengantara antara penduduk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasin berkata, lapan biro berkenaan iaitu aduan dan kebajikan, kemajuan wanita, belia dan sukan, sosial dan teknologi maklumat, kebersihan, kesihatan dan alam sekitar, pendidikan, modal insan dan kerohanian, keselamatan serta ekonomi dan kewangan perlu bergerak seiring agar penubuhan JPP mencapai matlamatnya.
Menurutnya, selain platform JPP, aduan masyarakat kepada PBT boleh disampaikan dalam pelbagai saluran antaranya media sosial rasmi PBT, kemudahan WhatsApp, e-mel dan telefon, malah masyarakat juga boleh terus menemui pegawai berkaitan semasa program turun padang atau sesi mendengar bersama masyarakat yang dilaksanakan secara berjadual sekarang ini.
“Peranan JPP lebih besar dan luas antaranya memainkan peranan menjadi ejen kerajaan menyalurkan maklumat tepat tentang pelbagai isu yang diputar belit pihak tidak bertanggungjawab, menyampaikan maklumat terkini tentang dasar kerajaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Pemimpin dan MPPD Bersama JPP, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan Media di Dewan MPPD, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan yang juga Adun Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dan Adun Linggi, Datuk Abd Rahman Mohd Redza.
Zamri berkata, sejak dilancarkan pada 2015 sehingga kini, JPP khususnya di daerah ini memainkan peranannya dengan baik dan banyak membantu PBT dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat, mewujudkan perpaduan serta jalinan kerjasama dengan pihak keselamatan.
“Daripada 24 zon JPP, tiga masih mempunyai kekosongan iaitu di Zon Telok Kemang, Zon Taman Tun Sambathan dan Zon Bandar Baru Springhill Utara.
“Walaupun masih belum ada organisasi JPP, kawasan tersebut langsung tidak tersisih dan dipertanggungjawabkan kepada ahli majlis berkaitan. Dalam masa terdekat, tiga zon ini akan diwujudkan organisasi JPP,” katanya.
Zamri berkata, majlis minum petang itu selain untuk mengeratkan silaturahim bertujuan menilai semula kaedah dan susur atur tugas yang perlu diperkemas lagi.
“Sebelum ini ada sedikit pertindihan susun kerja antara ahli majlis, JPP dan JKKK.
“Dengan adanya program ini, peranan masing-masing semakin jelas dan tahu kedudukan tugas masing-masing,” katanya.

Comments
Post a Comment