Didenda RM15,000 rasuah polis RM600

SEREMBAN - Seorang pekerja kontrak pendawaian didenda RM15,000 dan penjara empat minggu oleh Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis tahun lalu.

Hakim Fatiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Jamal Nasir Mohamd Tahar,36, yang membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberi suapan wang tunai RM600 kepada anggota polis dari Balai Polis Lukut, Port Dickson,  R.Anbalagan sebagai dorongan supaya tidak dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Port Dickson bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Perbuatan itu dilakukan pada 12 April 2016 jam lebih kurang 11 pagi, berhampiran Petronas Diambang Kota, Chuah Jalan Sepang-Lukut Port Dickson di sini.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tujuh bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Karmila dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments