SEREMBAN - Dua beradik lelaki ditahan kerana melakukan provokasi terhadap sekumpulan penyokong pasukan bola sepak Pahang selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di sini malam tadi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kedua-dua lelaki berumur 25 dan 38 tahun itu yang berasal dari Seremban diberkas ekoran kekecohan yang berlaku di luar Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
"Pihak polis menerima maklumat berlaku kejadian provokasi di tepi jalan yang terletak kira-kira 300 meter dari stadium pada pukul 12.01 tengah malam.
"Polis yang tiba di lokasi kejadian mendengar jeritan dan provokasi dan kumpulan orang ramai yang terlibat dalam insiden itu berjaya dileraikan pihak polis.
"Bagaimanapun terdapat dua lelaki tetap membuat provokasi, malah menghalang dan enggan memberikan kerjasama kepada polis," katanya kepada pemberita di sini.
Hock Poh berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Ujarnya, bagaimanapun mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.
Dalam perlawanan tersebut, Pahang menewaskan Negeri Sembilan 2-1 untuk mara ke final dengan agregat 3-1. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment