Skip to main content

DUID, Utem Holdings bekerjasama latih 700 usahawan wanita

SEREMBAN  - Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) Malaysia hari ini menjalin kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) Holdings bagi melatih 700 usahawan wanita dalam aspek kemahiran dan pemasaran produk.

Pengerusi Biro Wanita DUID, Jamilah Abd. Rauf berkata, kerjasama tersebut akan diadakan selama setahun dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM4 juta.
“Kerjasama dengan Utem Holdings ini mampu melonjakkan potensi perniagaan usahawan wanita di bawah DUID yang sesetengahnya gagal berkembang walaupun telah mendapat dana daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara DUID dan Utem Holdings di Nilai di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden DUID, Datuk Jamaludin Mat Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Utem Holdings, Nik Ahmad Fikri Nik Ismail.
Kira-kira 10,000 daripada 60,000 usahawan yang bernaung di bawah DUID merupakan wanita dan terlibat dalam pembuatan, perniagaan, perladangan dan lain-lain lagi. - UTUSAN ONLINE



Comments