‘Dulu suami banyak berkorban’

PORT DICKSON - “Abang dapat tak terima keadaan saya yang dah macam ni? lepas tu terus suami peluk saya erat-erat,” kata Azlina Abd Rashid, 32, kepada suaminya, Ridzuan Abdullah, 39, sebaik sahaja tersedar selepas pembedahan memotong kaki kanannya yang hancur akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Azlina, walaupun peristiwa itu sudah berlalu empat tahun lalu, tetapi ia menjadi kekuatan untuk dirinya kini.

“Jika dulu suami yang banyak berkorban. Terima kekurangan saya, bantu saya sesuaikan diri dengan keadaan hanya ada satu kaki serta uruskan rumah. Sekarang tiba giliran saya berkorban jaga suami yang hilang memorinya selepas kemalangan jalan raya Februari lalu,” katanya kepada Sinar Harian semasa menerima kunjungan Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk VS Mogan.

Ibu tiga anak ini berkata, insiden suaminya hilang ingatan bermula pada 2015.

“Ketika tu suami demam dan kami ke klinik. Masa suami bantu saya duduk sementara tunggu giliran, tiba-tiba dia pengsan dan terjatuh ke lantai mengakibatkan kepalanya cedera teruk. Dari Hospital Port Dickson, dia dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan akhirnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pembedahan buang darah beku dalam kepala.

“Pembedahan tu berjaya, tapi suami lumpuh separuh badan. Suami juga alami masalah percakapan kerana lehernya ditebuk akibat masalah pernafasan ketika tu. Sekarang suami dah boleh bernafas seperti biasa tapi tak boleh bercakap,” katanya.

Azlina berkata, akibatnya suaminya hilang pekerjaan sebagai pemandu lori.

Walaupun kakinya kudung dari paras pinggang, Azlina tetap tabah menjaga suaminya yang kehilangan banyak memori.
“Suami hampir berputus asa. Saya selalu beri kata semangat untuknya, saya beritahu dia, “saya yang hanya ada satu kaki kuat hadapi cabaran takkan abang ada dua kaki dah putus asa”.

“Alhamdulillah berkat doa dan usaha dalam sebulan suami dah boleh berjalan semula,” katanya.

Ujarnya, November tahun lalu, suaminya mula bekerja semula sebagai pengawal keselamatan.

“Tapi Februari lepas dia kena sawan masa pandu kereta dan terbabas langgar pokok, cedera di kepala tempat yang sama ketika dia jatuh di lantai tahun 2015 tu.

“Kaca tingkap tertusuk di kepala dan akibatnya dia hilang banyak memori, masa mula-mula dia sedar dari pembedahan, saya isterinya pun dia tak ingat,” katanya.

Menurutnya, memang ambil masa untuk mengembalikan semula memori suaminya.

“Sekarang ni memang saya hadapi waktu yang sangat sukar. Dalam keadaan suami yang tak boleh bercakap kemudian memorinya hilang, kadang-kadang tu saya tak faham apa yang dia nak cakap. Dah guna bahasa isyarat pun tak faham.

“Nak suruh dia tulis apa kemahuannya, dia lupa cara nak menulis, membaca pun dia dah lupa. Akhirnya kalau tak faham, saya cakap dengan suami agar masing-masing ambil masa dulu.

“Suami saya masih boleh bersuara tapi kalau nak bercakap diibaratkan satu kesukaran yang sangat besar baginya, kita tengok pun kesian dan akhirnya dia boleh tertekan sehingga diserang sawan lagi,” katanya.

Tambah Azlina, sambutan puasa dan raya sejak dua tiga tahun kebelakangan ini diadakan sangat ala kadar untuk diri dan keluarganya.

“Saya akan terus banyakkan berdoa agar kesihatan suami dipulihkan dan urusan kami mendapatkan bantuan Perkeso dipermudahkan.

“Sekarang kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. Anak-anak semua masih bersekolah yang sulung darjah enam yang bongsu darjah dua.

“Bayaran hutang bank pembelian rumah ni, saya dah tertunggak lebih enam bulan, risau juga kalau bank hantar surat lelong,” katanya.

Walaupun dalam kesempitan Azlina bersyukur kerana masih ramai yang prihatin dengannya.

Azlina juga sedang mencari pekerjaan yang boleh dilakukan oleh orang kurang upaya (OKU) sepertinya dari rumah sahaja.

Comments