SEREMBAN - Empat daerah di negeri ini iaitu Kuala Pilah, Tampin, Jelebu dan Rembau diisytihar bebas daripada aktiviti judi siber berikutan penguatkuasaan berterusan pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, bagaimanapun aktiviti tersebut masih wujud di empat daerah lain iaitu Seremban, Nilai, Port Dickson dan Jempol.
Katanya, sejak Januari hingga Mac lalu, sebanyak 2,658 premis disyaki pusat judi haram di empat daerah berkenaan dengan 167 pekerja serta 500 pelanggannya ditahan pihak berkuasa manakala 1,669 peralatan perjudian termasuk komputer dirampas.
“Kita telah tuduh 58 kes di mahkamah dan 41 kes dalam siasatan. Saya sangat kecewa kerana aktiviti judi siber masih berlaku di beberapa pihak berkuasa tempatan. Ada dalang besar dalam aktiviti ini kerana hari ini kita serbu, esok beroperasi semula,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, antara modus operandi aktiviti judi haram termasuk berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan, peralatan komputer, kafe siber dan makanan segera. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment