JEMPOL - Empat lelaki ditahan polis kerana memiliki dadah dan air ketum dalam tiga serbuan berasingan Op Tapis di daerah ini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin dan syabu masing-masing seberat 0.24 gram dan syabu 0.36 gram serta air ketum 1.5 liter.
Ujarnya, serbuan pertama dilakukan di Tanah Panjis, Rompin manakala dua lagi serbuan di dua buah rumah di Felda Lui Muda.
“Semua suspek lelaki yang ditangkap merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 24 hingga 30 tahun.
“Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Ujarnya, keempat-empat suspek terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan akan didakwa dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment