SEREMBAN – Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti), menyasarkan lebih penyertaan bagi Program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana Peringkat Negeri Sembilan sempena Ramadan tahun ini.
Yang Dipertuanya, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin berkata, memasuki tahun kedua penganjuran program ini, jumlah penyertaannya juga bertambah.
“Kita anjurkan program ini dengan penyertaan 50,000 orang tahun lalu. Untuk tahun ini ia diteruskan lagi dengan memberi tumpuan kepada mahasiswa anak Negeri Sembilan yang menuntut di 23 institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
Beliau yang juga isteri Menteri Besar berkata demikian pada Majlis Ihya Ramadan dan Penyerahan al-Quran kepada semua peserta terlibat di Dewan Pekerti di sini, semalam.“Walaupun mereka ini berada di luar Negeri Sembilan, tapi dengan kerjasama Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (Manis) kita dapat penyertaan seramai 13,540 pelajar. Mereka ini akan baca al-Quran di lokasi masing-masing,” katanya.
Salbiah berkata, program tadarus akan bermula pada 27 Mei ini sehingga 11 Jun, manakala untuk majlis khatam al-Quran pula akan diadakan pada 12 Jun di Masjid Hussain Seremban 2.
Menurutnya, pihaknya turut menggalakkan kesemua peserta sebelum ini untuk terus bersama-sama mengimarahkan Ramadan ini dengan membaca al-Quran.
“Ini kerana Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, dikurniakan pahala ibadah berganda yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Pekerti, Datin Paezah Ismail; Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin; Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Raja Shah Faizal Raja Kamarudin dan Pegawai Tugas-tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.
Comments
Post a Comment