Skip to main content

Guru diminta salur idea untuk TN50

JEMPOL  – Golongan guru diminta memberi sokongan kepada agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan menyalurkan idea dan pandangan berhubung hala tuju negara untuk tempoh beberapa puluh tahun akan datang.
Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, beliau yakin walaupun ramai guru bukan dalam kategori belia, tetapi mempunyai idea yang bernas untuk TN50 kerana mereka sangat dekat dengan pelajar.
“Jika ada idea yang baik, berikan kepada kerajaan, mungkin melalui Pengarah Pendidikan Daerah yang akan menyampaikannya kepada Menteri Pendidikan.
“TN50 merupakan dasar yang perlu disokong semua pihak termasuk guru untuk jaminan masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang,” katanya pada majlis Sambutan Hari Kualiti dan Hari Guru Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu 2017 di sini.
Pada majlis itu, Mohd. Isa menyampaikan anugerah Tokoh Guru PPD Jempol dan Jelebu kepada bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Kikir, Kamarol Zaman Othman.
Dalam pada itu, Mohd. Isa menyeru golongan guru membantu kerajaan mengelakkan ketegangan dalam kalangan masyarakat disebabkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.Menurutnya, beliau percaya guru masih ada kemampuan secara formal atau tidak formal untuk mempengaruhi fikiran masyarakat supaya mengelakkan perkara itu.
Beliau memberi contoh insiden seorang lelaki dipukul beberapa jemaah sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, Johor kerana membunyikan hon keretanya sewaktu solat Jumaat di surau berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Comments