Ingatkan asli, rupanya set terpakai

SEREMBAN - Usaha seorang pelajar kolej menyimpan wang untuk membeli telefon bimbit berakhir dengan kekecewaan apabila dia menjadi mangsa penipuan.

Jaya Suria Abdullah, 18, berkata, kejadian berlaku 12 Mei lalu apabila dia pergi ke sebuah kedai telefon bimbit di pusat membeli belah Terminal One, di sini untuk membeli sebuah telefon bimbit jenama Samsung J5 dengan harga ditawarkan sebanyak RM430.

Menurutnya, selepas melihat telefon bimbit itu dan mendengar penerangan dengan peniaga terbabit, dia bersetuju membelinya dan membayar harga ditawarkan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dia diminta menambah RM460 lagi sekiranya mahu mendapatkan set penuh.

“Harga yang diminta sehingga RM890 untuk telefon bimbit J5 memang tidak masuk akal, terlalu mahal. Tapi oleh sebab saya suka dan percaya kata peniaga itu yang set telefon itu asli, saya bayar juga," katanya.

Namun begitu, katanya, dia hadapi masalah selepas seminggu menggunakannya kerana telefon berkenaan rosak dan tidak berfungsi sebelum dia merujuk kepada kedai terbabit.

“Sebelum saya hantar ke kedai itu semula. saya ada minta bantuan daripada peniaga di kedai lain untuk memeriksa telefon itu. Saya terkejut apabila diberitahu telefon yang saya beli itu adalah set recon dari China, bukan asli," katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Jaya Suria berkata, peniaga kedai berkenaan kemudian menggantikan telefon Samsung J5 yang rosak itu kepada telefon terpakai jenis Samsung J7.

Menurutnya, dia kecewa dan menyesal membeli telefon di kedai berkenaan, malah terkilan kerana wang simpannya habis begitu saja.

Dia turut membuat laporan di Balai Polis Rahang, di sini semalam berhubung perkara berkenaan.

Dalam masa sama, Jaya Suria turut membuat aduan kepada Persatuan Pembangunan Masyarakat Malaysia (PPMM) untuk mendapatkan bantuan.

Pengerusi PPMM, Mohd Aryan Khalish Arumugam berkata, pihaknya akan bertemu dengan pemilik kedai telefon tersebut serta membawa mangsa ke Tribunal Tuntutan Pengguna untuk jalan penyelesaian.



"Penipuan seperti ini tidak sepatutnya terjadi. Saya minta orang ramai sentiasa berwaspada ketika membeli telefon bimbit di kedai-kedai kerana banyak kes sama berlaku sebelum ini," katanya.

Comments